Tragedi Hawk: Keluarga Mohd Fareez bersyukur anak terselamat

Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth malam tadi. - Foto Bernama
Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SEBERANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Keluarga Mejar Mohd Fareez Omar menzahirkan rasa syukur selepas mengetahui juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden pesawat terhempas itu dilaporkan selamat.

Bapanya, Omar Deros, 60-an bersyukur dan lega selepas mengetahui anaknya itu hanya cedera dalam insiden yang berlaku pada malam Selasa.

Bagaimanapun, beliau turut bersimpati dan sedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy.

"Saya menerima panggilan daripada pihak TUDM dan terus bergegas ke rumah saudara bersama keluarga di Butterworth. Kami tiba di sini kira-kira jam 8 pagi.

"Syukur apabila kami dimaklumkan anak saya hanya cedera dan selamat, yang mana dia kini sedang dirawat selain dipantau rapi oleh pihak hospital," katanya yang tinggal di Selangor pada Rabu.

Beliau sekeluarga belum dibenarkan berjumpa dengan Mohd Fareez, namun diberitahu anaknya itu akan menjalani pembedahan dalam waktu terdekat.

"Walaupun tidak dapat berjumpa lagi, namun saya bersyukur kerana dia dilaporkan stabil.

"Kami juga dimaklumkan dia akan menjalani pembedahan, namun kami belum mengetahui lebih lanjut mengenai pembedahan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian malam Selasa, Kapten Mohamad Affendi disahkan meninggal dunia dalam nahas pesawat TUDM yang terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth.

Nahas itu berlaku pada lebih kurang jam 10.07 malam ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying).