Mohamaddin kekal ADUN Segama: Speaker DUN Sabah

Kadzim dalam sidang akhbar di bangunan DUN Sabah. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
Kadzim dalam sidang akhbar di bangunan DUN Sabah. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, keputusan itu berdasarkan temu bual yang dilakukan secara bersemuka dengan Mohamaddin, pada Selasa.

"Dalam temubual itu, beliau mengatakan tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan pada 30 Oktober.

"Tiada sebab kenapa beliau mahu meletakkan jawatan selepas beliau mengumumkan keluar parti (Warisan). Kalau beliau mahu meletakkan jawatan, tidak perlu umum keluar parti, beliau letak saja jawatan," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Sehubungan itu, Kadzim memaklumkan bahawa beliau menerima pengakuan daripada Mohamaddin berhubung surat peletakan jawatan yang tidak ditandatanganinya itu.

"Berdasarkan itu, saya menerima bahawa perakuan daripada Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa beliau tidak menandatangani surat peletakan jawatan itu dan surat peletakan jawatan itu adalah satu surat yang ditandatangani tanpa tarikh.

"Berasaskan undang-undang yang ada sebelum ini, surat peletakan jawatan sebagai ADUN itu adalah tidak sah dan Datuk Mohamadin Ketapi kekal sebagai ADUN Segama," katanya.

Sebelum itu, Kadzim memaklumkan pada 30 Oktober lalu, beliau telah menerima e-mel daripada Mohamaddin iaitu surat dan dokumen yang membatalkan 'aku janji' yang ditandatanganinya dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu pada 1 November, pejabat saya terima surat daripada firma guaman yang mengaku mewakili pihak Mohamaddin yang mana surat itu menyatakan peletakan jawatan beliau.

"Bagaimanapun pada keesokan harinya, pejabat saya menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan ada menandatangani surat peletakan jawatan yang dikemukakan pada 30 Oktober dan beliau juga menafikan telah melantik firma guaman bagi pihaknya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan.

Beliau adalah ADUN ketiga Warisan yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob.