X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

'Jangan anggap makanan di Langkawi mahal kerana isu ikan siakap'

Mohd Firdaus
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Harga makanan khususnya hasil laut di Langkawi tidak semahal seperti didakwa susulan isu tular berkaitan masakan ikan Siakap yang dikenakan bayaran RM1,986.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, insiden yang tular itu adalah berpunca daripada salah faham antara pelanggan dan peniaga selain merupakan kes terpencil di Pulau Langkawi.

Menurutnya, pihaknya berharap isu berkenaan tidak dijadikan gambaran kononnya harga makanan di Langkawi mahal berbanding di tanah besar.

“Difahamkan saiz ikan tersebut besar. Saya harap isu ini tidak ditimbulkan lagi sebab bukan isu besar.

“Pihak restoran telah beri penjelasan mengatakan ikan tersebut adalah ikan pameran seberat tujuh kilogram, dijual RM16 bagi 100 gram dan harganya telah diberitahu terlebih dahulu,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Rabu.

Mohd Firdaus berkata, susulan insiden itu, pihaknya berharap persefahaman jual beli antara peniaga dan pelanggan perlu dicapai bagi memastikan hak kedua-dua pihak dihormati.

“Peniaga perlu pastikan tanda harga dipamerkan dan jelaskan kepada pelanggan. Pelanggan pula mesti mengetahui harga makanan yang dibayar sebelum menempah makanan,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah telah membuat lawatan ke premis tersebut dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung tersebut.

“Maklum balas berkaitan kos operasi restoran, kos masakan, harga hidangan di situ diambil sebelum membuat analisa sekiranya berlaku kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai sekumpulan tujuh orang yang makan di sebuah restoran semasa mengikuti trip Mangrove Tour Langkawi, dikenakan harga RM1,1986.80 bagi seekor ikan siakap dan bayaran keseluruhan hidangan mencecah RM1852.50.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!