Agong perkenan tiga akta yang diluluskan di Parlimen

Al-Sultan Abdullah.- Foto fail Bernama
Al-Sultan Abdullah.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan tiga akta yang diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang lepas.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia terdiri daripada Akta Levi Keuntungan Luar Biasa Pindaan 2021, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) Pindaan 2021 dan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara Pindaan 2021.

“Saya suka hendak memberitahu majlis ini iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan limpah kurnia Seri Paduka Baginda telah memperkenan akta-akta yang telah diluluskan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 yang lepas,” katanya dalam pemakluman Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi soal jawab pada Selasa.

Sementara itu beliau berkata, Dewan Rakyat turut memperingati Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut serata dunia pada 20 November setiap tahun dengan mengadakan sambutan dan menjemput semua ahli Parlimen untuk meraikannya pada 1 tengah hari ini di Dewan Banquet, Parlimen.

“Hari Kanak-Kanak Sedunia ini merupakan hari istimewa kerana ia menandakan penerimaan konvensyen hak kanak-kanak pada 20 November 1989 dan Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada tahun 1995,” katanya.

Azhar berkata, Malaysia mempunyai obligasi dengan mematuhi prinsip dan peruntukan yang termaktub di dalam konvensyen itu terutama berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak. - Bernama

Artikel Berkaitan: