Kajian subsidi minyak masak dijangka selesai tahun depan

Alexander Nanta Linggi - Foto fail Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian bagi memastikan subsidi minyak masak dapat dioptimumkan dan agihannya sampai kepada golongan sasaran dijangka selesai pada tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kajian yang bermula sejak Oktober lepas itu menilai aspek keberkesanan pelaksanaan program subsidi sedia ada, meliputi keberkesanan penyampaian, mekanisme pelaksanaan, darjah ketirisan dan kos yang terlibat.

"....seterusnya cadangan mekanisme baharu untuk dilaksanakan sebagai langkah bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian subsidi kepada golongan sasar," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang akan diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada masa hadapan, supaya subsidi minyak masak serta subsidi bawah kawal selia kementerian itu dapat dioptimumkan dan agihan subsidi tersebut sampai kepada golongan sasaran.

Alexander berkata, kajian itu meliputi program subsidi utama di KPDNHEP termasuk program skim penstabilan harga minyak masak, program subsidi tepung gandum kegunaan am, program pengedaran barang perlu dan program penyeragaman harga di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Kerajaan prihatin dengan kebajikan masyarakat di luar bandar khususnya untuk mendapatkan barang keperluan asas.

"Kerajaan akan terus komited untuk meneruskan program sedia ada bagi memastikan masyarakat di luar bandar akan dapat menikmati harga yang sama di bandar, tanpa perlu menanggung kos pengangkutan dan pengedaran," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: