X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Kembalikan semula HSK di Bagan Datuk, Hilir Perak

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

IPOH - Kerajaan Perak disaran mewujudkan kembali Hutan Simpan Kekal (HSK) di daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak bagi mengawal limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, di daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak sebelum ini terdapat HSK namun ia telah lama dimansuhkan.

Menurutnya, terdapat lima kawasan HSK yang telah dimansuhkan di dua daerah berkenaan iaitu Hutan Simpan (HS) Rungkup, HS Hutan Melintang, HS Changkat Jong, HS Parit Payong dan HS Erong.

"Tiga daripada HSK ini merupakan jenis hutan paya gambut manakala dua lagi hutan paya bakau dan hutan paya air tawar. Kesemua kawasan ini berfungsi sebagai zon penampan semula jadi untuk mengekang limpahan air yang mengakibatkan banjir.

"Kawasan berpaya khususnya di kawasan pesisir pantai amat penting kerana ia boleh mengawal aliran air laut terutama ketika air pasang besar.

"Bagaimanapun kesemua kawasan ini sudah pun dimansuhkan dan ditebus guna untuk tujuan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Meor Razak, pemansuhan kawasan HSK itu antara punca berlakunya banjir genang di beberapa kawasan di daerah itu disebabkan air pasang besar dan limpahan air sungai.

Meor Razak Meor Abdul Rahman
Meor Razak Meor Abdul Rahman

Jelasnya, apabila air tidak dapat diserap ke mana-mana kawasan, ia akan melimpah ke kawasan rendah menyebabkan berlaku banjir genang tersebut.

Beliau berkata, sudah sampai masanya pihak berkuasa negeri mencari kawasan yang sesuai untuk diwartakan sebagai hutan simpan di daerah itu bagi mengawal banjir.

"Walaupun ada teknologi kejuruteraan membina tebatan banjir, namun ia bukan penyelesaian terbaik tanpa ada penampan semula jadi seperti hutan paya bakau.

"Begitu juga kawalan perlu dilakukan di kawasan rizab sungai kerana ia penting dalam menampung limpahan air.

"Tindakan menceroboh atau tebus guna rizab sungai akan menjejaskan ekosistem sedia ada," katanya.

Meor Razak berkata, kesan fenomena air pasang besar tidak akan selesai jika kawasan paya tidak dilindungi dan dipelihara walaupun terdapat teknologi kejuruteraan terkini untuk mengawal keadaan itu.

Katanya, penggunaan kaedah semula jadi dalam menangani masalah ini juga tidak melibatkan kos yang besar selain memberi manfaat kepada keseimbangan ekosistem serta penghasilan sumber akuatik di kawasan tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!