Washington akan tarik balik pemakaian pelitup muka

Orang ramai tidak lagi perlu memakai pelitup muka di Washington mulai minggu depan. - Foto AFP
Orang ramai tidak lagi perlu memakai pelitup muka di Washington mulai minggu depan. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Penduduk di Washington tidak lagi perlu memakai pelitup muka di dalam bangunan pada minggu depan kecuali di sekolah-sekolah dan stesen-stesen pengangkutan awam, kata Datuk Bandarnya, Muriel Bowser pada Selasa.

Arahan terbaharu itu dibuat berikutan keberkesanan vaksinasi Covid-19 dalam membendung kematian dan kemasukan pesakit-pesakit di hospital bandar raya tersebut.

Bowser membuat pengumuman berkenaan menerusi ciapannya di Twitter yang menyatakan bermula pada Isnin iaitu 22 November depan, Washington akan menarik semula pemakaian pelitup muka di dalam bangunan.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat perniagaan dibenarkan membuat peraturan sendiri berhubung penularan Covid-19.

Datuk bandar itu menciap bahawa pelitup muka masih perlu dipakai ketika berkongsi menggunakan kenderaan, mengunjungi perpustakaan, rumah-rumah penjagaan, penjara dan beberapa jabatan kerajaan.

Washington telah mewajibkan pemakaian pelitup muka pada lewat Julai lalu untuk orang ramai yang sudah mendapat vaksin atau belum lagi divaksinkan ekoran peningkatan kes Covid-19 disebabkan oleh varian Delta. - Agensi

Artikel Berkaitan: