Pengangkutan percuma agenda utama Muhammad Jefry

Muhammad Jefry ketika menyantuni warga Sungai Rambai di kedai makan.
Muhammad Jefry ketika menyantuni warga Sungai Rambai di kedai makan.
A
A
A

WALAUPUN dikategorikan sebagai muka baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun ia tidak menjadi penghalang kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Muhammad Jefry Safry, 30, menyantuni dan mendekati rakyat di kawasan berkenaan.

Jefry yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Jasin akui bersedia dan ikhlas untuk mencurah khidmat kepada warga Melaka terutama kepada masyarakat di kawasannya.

Antara isu yang akan diberi perhatian serius jika menjadi wakil rakyat ialah menawarkan pengangkutan secara percuma kepada golongan warga emas untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan selain menangani masalah capaian internet dan infrastruktur.

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Raja Nur Faznie Aida bersama calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sungai Rambai ini dalam menterjemahkan agenda perjuangannya.

SINAR HARIAN: Berlaku pertembungan empat penjuru di DUN Sungai Rambai. Bagaimana saudara melihat persaingan ini?

JEFRY: Bagi saya ia merupakan satu persaingan yang sangat hebat. Walaupun kelihatan berat untuk saya pikul selaku calon muda, tetapi saya akan lakukan yang terbaik. Saya perlu bekerja keras lagi dengan berjumpa dan beramah mesra dengan seramai mungkin penduduk supaya dikenali di DUN Sungai Rambai ini.

Boleh kongsikan perkembangan kempen dalam suasana baharu dan apakah cabarannya?

Apabila tidak boleh berkempen dari rumah ke rumah, inilah cabaran utama saya dan calon lain. Apa yang kami boleh lakukan hanya bergantung sepenuhnya kepada media sosial selain berjumpa di kawasan terbuka yang menjadi tumpuan umum. Pergerakan sangat terhad, tetapi semua calon perlu menghadapinya.

Artikel Berkaitan:

Dengan SOP kempen yang ketat, media sosial antara platform utama yang akan digunakan oleh calon. Adakah ia berkesan?

Bagi saya ia bergantung kepada satu-satu kawasan, jika kawasan itu terdiri daripada golongan orang tua, warga emas atau veteran maka sukar untuk sampaikan maklumat melalui media sosial. Kebanyakannya langsung tidak pernah mengakses internet, malah ada yang tidak mempunyai telefon bimbit. Majoriti penduduk di sini adalah warga emas berbanding orang muda yang hanya 40 peratus. Ditambah pula masalah capaian internet, bermakna sesetengah lokasi sahaja yang boleh diakses. Inilah cabarannya jika hanya menggunakan pendekatan media sosial.

Apakah mesej yang akan dibawa untuk mendapat mandat kerusi DUN Sungai Rambai ini?

Saya akan meneruskan legasi wakil rakyat sebelum ini terutama dari segi capaian internet, jalan tidak diturap dan longkang tersumbat. Saya juga nekad untuk membantu warga emas di Sungai Rambai. Kebanyakan mereka tidak mempunyai kenderaan untuk ke hospital dan klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan ataupun mendapatkan rawatan. Jadi, saya cadang menyediakan pengangkutan secara percuma agar dapat meringankan beban mereka.

Muhammad Jefry sempat beramah mesra dengan penduduk setempat.
Muhammad Jefry sempat beramah mesra dengan penduduk setempat.

Apa perjuangan saudara jika dipilih untuk menjadi wakil rakyat?

Selain menangani masalah yang saya sebutkan tadi, saya juga tidak akan sama sekali memilih parti untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat. Saya akan memastikan semua rakyat tanpa mengambil kita latar belakang keturunan dan politik mereka menerima bantuan yang saksama, sama rata dan tiada istilah kroni. Bagi menangani masalah penghijrahan golongan muda kerana mencari kerja pula, saya bercadang membantu golongan muda melalui konsep mencipta kerjaya di Sungai Rambai agar mereka tidak perlu keluar ke tempat lain.

Apa pendekatan yang diambil terhadap pengundi muda di kawasan ini?

Walaupun hanya mempunyai pengundi muda sekitar 4,000 orang, tetapi saya cuba menyantuni mereka dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari golongan muda seperti sukan dan rekreasi. Ini satu cara untuk saya mengenali mereka dengan lebih dekat dan menasihati mereka agar keluar mengundi pada Sabtu ini.

Apakah harapan saudara selaku calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka ini?

Saya berharap rakyat Sungai Rambai dapat memberi peluang kepada saya untuk memimpin dan menjadi suara mereka. Walaupun saya boleh dikategorikan sebagai orang muda, namun saya percaya saya boleh memikul dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat yang berkualiti. Insya-ALLAH saya akan cuba memikul tanggungjawab ini dengan memberi khidmat sebaik mungkin kepada para penduduk di kawasan DUN ini.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Muhammad Jefry Safry

Umur: 30 tahun

Asal: Jasin, Melaka

Pendidikan:

  • Diploma Pendidikan Pra Sekolah, Kolej UNITI
  • Master (Level 7, Malaysian Qualitifications Framework) in the field of education

Jawatan dalam politik:

  • Ketua Armada Jasin
  • Naib Ketua Armada Negeri Melaka
  • Bendahari Pemuda PN Melaka

Lain-lain jawatan:

  • Naib Pengerusi Mapim Daerah Jasin
  • Pengerusi Youth Power Club Jasin
  • Pengerusi Kelab Sosio Ekonomi Jasin
  • Ahli Majlis Perbandaran Jasin Portfolio Belia
  • Pengasas Hypermax Taekwondo Malaysia
  • Jurulatih sukan taekwondo