Rakyat Sabah, Sarawak mahu penguatkuasaan harga minyak lebih terkawal

Profesor Dr Madya Kartini Aboo Talib
Profesor Dr Madya Kartini Aboo Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Sabah dan Sarawak mahukan penguatkuasaan yang lebih baik dan terkawal terhadap harga minyak masak serta barangan import.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Madya Kartini Aboo Talib berkata, kenaikan harga untuk barangan tersebut menjadi keluhan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Ada yang berkongsi pandangan mengenai isu orang tengah walaupun minyak telah jelas diberi subsidi tetapi masih lagi mengenakan caj yang mahal seperti caj pengangkutan.

“Ini yang mereka kata kurang tepat dan tidak adil. Memang pendapatan mereka nampak besar, tetapi tidak sesuai untuk harga yang mahal,” katanya.

Beliau berkata ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-304 yang bertajuk 'Menangani Kos Sara Hidup Keluarga Malaysia’ pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pengarah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Atan Sapian dan penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Kartini berkata, bantuan informasi oleh kerajaan terutamanya daripada KPDNHEP dilihat amat wajar dilaksanakan untuk setiap platform bagi memudahkan rakyat.

“Kalau kita layari laman rasmi KPDNHEP banyak program termasuk Program Perlindungan Pengguna, Dasar Pengguna Negara (DPN), Pelan Induk Pengguna (PIP), Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 yang merujuk Akta 599 dan juga menyediakan talian penting serta laman web aduan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kalau ada harga barang yang dilihat keterlaluan pengguna boleh guna saluran yang tepat untuk membuat aduan dan melaporkan apa yang berlaku,” ujarnya