Mohd Fadly bawa konsep 3P di Ayer Molek

Golongan peniaga turut didekati oleh Mohd Fadly sewaktu siri kempen dijalankan beliau.
Golongan peniaga turut didekati oleh Mohd Fadly sewaktu siri kempen dijalankan beliau.
A
A
A

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Penyandang kerusi DUN itu, Datuk Rahmad Mariman (Barisan Nasional) bakal berhadapan dengan tiga calon lain iaitu Mohd Fadly Samin (Perikatan Nasional), Mohd Rafee Ibrahim (Pakatan Harapan) dan Ahmad Muaz Idris (Bebas) bagi merebut undi rakyat kawasan berkenaan.

Untuk rekod, Rahmad sebelum ini memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,805 undian pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU) lalu.

Peluang ini pastinya ingin digunakan oleh setiap calon khususnya Mohd Fadly yang menjadi calon muda mewakili PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), memecahkan dominasi BN di kerusi berkenaan.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai agenda yang bakal ditawarkan buat penduduk di DUN Ayer Molek, ikuti sesi wawancara Wartawan Sinar Harian, Asyraf Muhammad bersama Mohd Fadly.

SINAR HARIAN: Dipilih kepimpinan parti untuk bertanding di kerusi DUN Ayer Molek, apakah yang saudara boleh kongsikan?

MOHD FADLY: Perasaan saya bercampur-baur kerana saya boleh dianggap sebagai calon muda yang diketengahkan oleh kepimpinan parti untuk bertanding di DUN ini. Pesaing lain merupakan nama-nama besar dan berpengalaman. Namun begitu, saya tetap teruja untuk turun bertemu masyarakat setempat kerana tugas saya sebelum ini sebagai perunding motivasi juga memerlukan saya untuk bersama penduduk setempat di sini.

Apakah misi dan visi saudara buat penduduk di DUN Ayer Molek sekiranya menang dalam PRN ini?

Artikel Berkaitan:

Saya ingin bawa konsep 3P iaitu Pendidikan, Persekitaran dan Pembangunan modal insan. Bagi aspek pendidikan, DUN Ayer Molek adalah kawasan kampung sedangkan sesi pembelajaran masih ada yang perlu dilaksanakan secara dalam talian, Keadaan ini menyukarkan pelajar kerana kekangan kemudahan akses internet, gajet dan sebagainya. Masalah inilah yang akan saya perjuangkan demi kejayaan anak-anak di sini. Bagi aspek persekitaran pula, kemudahan yang tidak dinaik taraf sehingga menyebabkan longkang tersumbat dan banjir perlu ditambah baik untuk keselesaan penduduk setempat. Manakala pembangunan modal insan sentiasa menjadi misi saya bagi menjadikan penduduk DUN ini sebagai contoh kepada masyarakat luar. Jika tiga asas ini dipegang insya-ALLAH DUN Ayer Molek akan dikenali dan menjadi sebutan ramai.

Apa cabaran yang dapat saudara rasakan dalam pertembungan empat penjuru ini?

Tentu sekali ia cabaran besar buat saya tetapi bukan bermakna saya mudah mengalah. Kehadiran saya adalah adalah untuk menambah baik dan memberi yang lebih baik. Cabaran pertama saya apabila perlu berdepan calon berpengalaman namun saya percaya pengundi sekarang lebih bijak memilih. Perkara kedua berkaitan kekangan kempen. Kita faham Covid-19 menjadi asbab perjalanan kempen sedikit terganggu namun saya menggunakan segala platform yang ada untuk sampaikan maklumat kepada rakyat.

Apakah keperluan yang harus diusahakan segera buat penduduk di DUN Ayer Molek ini?

Saya lihat ada beberapa keperluan yang harus diutamakan untuk anak-anak muda. Mereka perlukan tempat berkumpul secara sihat. Kita juga perlu dapatkan pandangan mereka untuk kemajuan DUN Ayer Molek ini. Mengenai isu kebajikan pula, saya lihat kita perlu ubah polisi berkaitan permohonan bantuan supaya dipermudahkan tanpa sebarang birokrasi.

Mohd Fadly (kanan) beramah mesra bersama salah seorang pengundi di DUN Ayer Molek sewaktu kempen PRN Melaka.
Mohd Fadly (kanan) beramah mesra bersama salah seorang pengundi di DUN Ayer Molek sewaktu kempen PRN Melaka.

Adakah usia muda memberi kelebihan buat saudara untuk tawan hati pengundi belia?

DUN Ayer Molek ini juga terdiri daripada golongan muda, mungkin itu antara sebab kepimpinan ketengahkan saya sebagai calon untuk membawa aspirasi PN. Saya faham ada sebahagian rakyat mungkin anggap saya calon muda dan kurang pengalaman, namun ini peluang untuk rakyat menerima pemimpin muda dan berjiwa besar.

Susulan kontroversi bilik gerakan PN di DUN Ayer Molek yang ditutup sebelum ini, adakah isu itu menjejaskan kempen saudara?

Penutupan itu hanyalah salah faham dan ia diselesaikan tidak sampai 24 jam. Situasi yang berlaku itu tidak menganggu perjalanan kempen malah ia memberi semangat kepada jentera parti untuk berusaha lebih kuat lagi. Mengenai politik pula, cabaran pasti ada namun ia beri kekuatan luar biasa untuk kita kembali bersatu.

Jika terpilih, apakah perkara pertama yang akan dilakukan di sini?

Selain pendidikan, sudah tentu aspek kebajikan golongan memerlukan diutamakan. Ia penting kerana sejak Covid-19 melanda, ramai yang terjejas terutama golongan peniaga dan penjaja kecil. Mereka ingin bernafas kembali, jadi golongan inilah yang kita perlu utamakan. Selain itu golongan muda lepasan universiti juga perlu diberi perhatian terutama dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka.

Apa harapan saudara dalam mendepani baki kempen PRN?

Sebagai calon muda, saya harapkan pengundi berdaftar dan layak untuk memilih turun menunaikan tanggungjawab mereka pada 20 November ini. Jangan dengar dan terikut-ikut dengan khabar angin kononnya ramai yang tidak mahu turun mengundi kerana faktor politik yang berlaku sebelum ini. Saya juga berharap agar dapat diberi peluang menjadi pemimpin muda di DUN ini.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Mohd Fadly Samin

Umur: 38 tahun

Asal: Balik Bukit, Bukit Lintang, Melaka.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Universiti Malaya (UM)

Kerjaya: Ahli Perniagaan dan Perunding Motivasi