Calon PRN kembung perut banyak minum air

No Image Caption
A
A
A

KATA kawan Merak Jalanan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, siapa yang juara dalam media sosial mesti boleh menang.

Ramalan beliau itu berdasarkan peraturan dan SOP ketat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar tiada kempen PRN secara fizikal.

Maka kempen alam maya menjadi semakin penting pada PRN Melaka disebabkan oleh SOP ketat mengelakkan penularan Covid-19.

Perang bendera atau kempen singgah rumah ke rumah bertukar menjadi perang poster dan program bual bicara di Facebook.

Tetapi yang tidak sedapnya apabila kehangatan perang media sosial tersebut diburukkan dengan penularan berita-berita palsu.

Sebelum ini terdapat berita palsu yang tersebar kononnya sempadan negeri Melaka ditutup selama 15 hari kerana PRN.

Kemudian tersebar dakwaan pemilik kedai makan tutup kedai bila Datuk Seri Najib Tun Razak mahu singgah makan.

Dan paling mengejutkan pada Ahad, ada orang yang berani menular berita tidak benar kononnya Sultan Johor minta rakyat Melaka tolak BN.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kehangatan kempen pilihan raya fizikal walaupun tidak semeriah mana tetapi tetap terasa di Melaka.

Kata rakan setugas Merak Jalanan yang kini berada di Melaka, cuma calon perlulah bijak dalam berkempen supaya tidak disaman pegawai penguat kuasa.

Katanya lagi, kalau nak gerak ramai-ramai caranya calon kena ‘sambil menyelam minum air’.

Pening gak Merak Jalanan fikir, rupanya yang dia maksudkan, buatlah aktiviti-aktiviti yang dibenarkan untuk cover sikit kegiatan berkempen.

Contohnya pakai baju parti tapi lepaklah ramai-ramai di kedai makan sambil jumpa orang kampung.

“Sudahnya calon PRN kembung perut sebab asyik minum air di banyak kedai kerana nak jumpa orang kampung,” cerita rakan Merak Jalanan.