Empat pasukan pilihan diramal lolos

Aksi antara TFC dan Sarawak United dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad lalu. FOTO: FB TERENGGANU FB. Gambar Kecil : Irfan Bakti.
Aksi antara TFC dan Sarawak United dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad lalu. FOTO: FB TERENGGANU FB. Gambar Kecil : Irfan Bakti.
A
A
A

TIADA kejutan dijangka berlaku pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Khamis ini apabila Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Melaka United FC dan Kuala Lumpur City (KL) FC menjadi pilihan mara ke peringkat separuh akhir.

Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, keempat-empat pasukan itu diramal mampu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik berdasarkan keputusan aksi suku akhir pertama pada Ahad lalu.

“Pada pandangan saya, agak sukar untuk pasukan lain mencipta kejutan pada peringkat suku akhir kedua nanti melihatkan apa yang berlaku dalam saingan suku akhir pertama sebelum ini.

“Jika ada kejutan pun mungkin daripada Sarawak United. Tetapi saya tetap memilih TFC untuk memenangi perlawanan berkenaan berdasarkan pengalaman yang dimiliki pasukan itu.

“Stadium UiTM, Shah Alam boleh dikatakan home bagi TFC. Walaupun Sarawak United ada kelebihan satu gol, tetapi TFC turut memiliki kelebihan dengan dua gol hasil kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Melaka United berpeluang mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas pada Ahad lalu. FOTO: FB MELAKA UNITED FC
Melaka United berpeluang mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas pada Ahad lalu. FOTO: FB MELAKA UNITED FC

Pada masa sama, Irfan Bakti turut meramalkan Melaka United berpeluang cerah mara ke separuh akhir walaupun hanya berbekalkan satu jaringan selepas menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas pada Ahad lalu.

“Untuk perlawanan Melaka United menentang Sabah, saya memilih Melaka United. Walaupun Melaka United hanya ada bekalan satu gol, tetapi ia dilihat sudah cukup besar kerana jaringan itu diperoleh di tempat lawan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas aksi derbi Lembah Klang yang menemukan KL City dan Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Irfan menganggap skuad The Hawks memiliki lebih banyak kelebihan untuk mara ke separuh akhir.

“KL City dah menang 2-0 di home Selangor pada Ahad lalu dan mereka ada peluang yang cukup cerah berbanding Selangor. Sukar buat Selangor mengubah kedudukan itu, tambahan pula KL City cukup kebal di tempat sendiri,” jelasnya.

Irfan turut menjangkakan pertembungan ‘ulangan final’ edisi 2019 antara JDT dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim lebih memihak kepada skuad Harimau Selatan.

“Bagi perlawanan JDT dan Kedah, saya rasa semua orang pun boleh tahu keputusannya. JDT tetap pasukan pilihan untuk ke separuh akhir. Ini kerana dengan sokongan penyokong sendiri dan kehebatan pasukan itu, saya rasa semuanya akan berpihak kepada JDT,” katanya.