Ikrar PN inklusif, fokus kebajikan rakyat, bawa mesej prihatin

Ikrar manifesto oleh barisan kepimpinan PN selepas pengumumannya pada Ahad.
Ikrar manifesto oleh barisan kepimpinan PN selepas pengumumannya pada Ahad.
A
A
A

Ikrar yang juga manifesto parti Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berteraskan enam tunjang utama disifatkan sebagai adil dan saksama.

Manifesto yang diumumkan itu terangkum secara menyeluruh berdasarkan enam tunjang iaitu keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrasturuktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji sebuah jawatankuasa khas pemantau pelaksanaan ikrar akan ditubuhkan dan manifesto itu akan dilaksanakan jika PN berjaya menerajui pentadbiran di negeri Melaka.

Antaranya mewujudkan Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bantuan penyelenggaraan sekolah tahfiz dan bantuan one-off kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta tadika di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Perikatan Nasional turut menyenaraikan peruntukan perbelanjaan menyambut kelahiran anak melalui bantuan sekali bayar RM200 kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021 dan akan mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia Melaka.

Muhyiddin ketika mengumumkan manifesto PN yang membawa mesej prihatin.
Muhyiddin ketika mengumumkan manifesto PN yang membawa mesej prihatin.

Pada Ahad, Muhyiddin mengumumkan ikrar manifesto PN untuk PRN Melaka berteraskan kepada enam tunjang utama dan turut dipacu oleh 11 strategi serta 74 pendekatan.

Artikel Berkaitan:

Ikrar dengan moto Melaka Bangkit Gemilang itu akan diterajui oleh calon pemimpin PN yang dipilih bertanding pada pilihan raya tersebut.

Manfaat besar

Penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam., Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy menyifatkan manifesto tersebut sebagai satu peluang cerah untuk rakyat negeri Melaka membuat pilihan dan bakal memberi peluang kepada PN untuk mengemudi pentadbiran di negeri berkenaan.

Beliau yakin manifesto PN yang dibentangkan itu mampu membawa Melaka ke hadapan berbanding negerinegeri lain.

Malah, manifesto yang berkonsepkan prihatin itu akan mengoptimumkan pelbagai sektor termasuk ekonomi, kebajikan, pembangunan, pendidikan dan pentadbiran di negeri berkenaan.

“Saya melihat manifesto yang telah diumumkan PN semalam berfokus kepadasoal keprihatinan yang menyeluruh meliputi kepentingan rakyat, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi seperti sektor pelancongan, pendidikan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita juga biasa melihat kepimpinan Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri yang sinonim dengan sikap prihatin. Walaupun berkhidmat dalam tempoh singkat, beliau amat prihatin dan banyak menyentuh soal kebajikan rakyat.

“Saya percaya rakyat Melaka boleh membuat perbandingan siapa yang mereka rasakan sesuai untuk mengemudi pentadbiran negeri dan tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat Melaka boleh memberi peluang kepada PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

SARA CHINNASAMY
SARA CHINNASAMY

Menurut Sara Chinnasamy, ikrar yang dibentangkan itu akan memberi manfaat kepada pelbagai sektor di Melaka khususnya sektor pelancongan yang dilihat dapat dilaksanakan secara maksimum hingga dikenali di peringkat global.

Beliau tidak menolak kemungkinan besar program yang bakal dianjurkan di bawah enam tunjang manifesto itu kelak selari dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya ia lebih mudah dilaksanakan terutama dari segi rang undang-undang dan juga pembangunan,” ujarnya.

Harapan rakyat

Penganalisis politik, Datuk M. Periasamy pula berpendapat pengundi kini lebih bijak dan mengharapkan kerajaan yang stabil serta berjiwa rakyat selain mampu merealisasikan hasrat mereka.

Melihat kepada trend politik semasa katanya, pengundi kini kurang berminat dengan slogan dan manifesto parti-parti politik berikutan kegagalan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pengalaman pahit terhadap manifesto PH pada PRU14 menyebabkan pengundi lebih percaya kepada kemampuan dan prestasi parti-parti politik yang bertanding,” ujarnya.

M PERIASAMY
M PERIASAMY

Beliau bagaimanapun mengakui Manifesto PN berbeza, menarik dan mampu dilaksanakan jika berpeluang menerajui Melaka jika memenangi PRN pada 20 November ini.

“Dalam situasi sekarang, PN perlu meneruskan fokus yang sudah dilaksanakan sebelum ini terutama ketika pandemik Covid-19 iaitu kebajikan hidup rakyat terutama golongan M40, B40, golongan rentan serta orang kurang upaya (OKU).

“Pada masa yang sama PN perlu menghapuskan gejala rasuah dalam pentadbiran kerajaan selain meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada golongan muda,” katanya

IKRAR PN:

- Ikrar manifesto berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan.

- Menggunakan moto “Melaka Bangkit Gemilang”

- Enam tunjang utama disifatkan sebagai adil dan saksama.

- Meliputi keperluan rakyat dari sudut ekonomi, keprihatinan, sektor pelancongan, alam sekitar, infrasturuktur & isu pentadbiran.

- Tubuh satu jawatankuasa khas pemantau pelaksanaan ikrar jika PN menang.

No Image Caption

JANJI PN:

- Mewujudkan Hab Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

- Bantuan penyelenggaraan sekolah tahfiz.

- Bantuan one-off kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan tadika di bawah JAIM.

- RM200 untuk kelahiran anak di negeri Melaka pada tahun 2021.

- Mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia Melaka.