Tujuh kriteria persediaan peralihan ke fasa endemik

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong bercakap pada sidang media Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong bercakap pada sidang media Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPU - [DIKEMAS KINI] Tujuh komponen perlu dipenuhi sebagai persediaan negara untuk beralih ke fasa endemik atau ‘Reopening Safely’ dalam menuju ke arah persekitaran hidup bersama Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ia merangkumi satu prosedur operasi standard (SOP) dengan sembilan garis panduan; sistem amaran dan tindakan (HAS); Strategi Ujian Nasional; serta TRIIS (Ujian, Laporan, Asingkan, Maklumkan, Cari).

Selain itu, automasi FTTIS (Automated Find, Test, Trace, Isolate, Support); pembukaan sempadan negara secara berperingkat; dan duta-duta pemerkasaan komuniti juga adalah antara komponen berkenaan.

“Namun semua ini bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan diadakan dalam minggu ini atau minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Beliau juga berkata, peralihan ke fasa endemik akan dilakukan secara serentak di seluruh negara, berdasarkan kepada kriteria antarabangsa termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hishammuddin berkata, ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 pada Selasa bagi memastikan setiap perancangan ke arah endemik berjalan lancar, difahami semua pihak dan tidak menjejaskan usaha membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, peralihan ke fasa endemik merupakan langkah kerajaan seterusnya selepas kebanyakan negeri sudah berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Sarawak dan Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan secara berhati-hati dan berperingkat telah memberikan pelbagai kelonggaran termasuk pembukaan sektor industri, kebenaran rentas negeri, pembukaan semula sekolah dan institut pengajian tinggi serta melaksanakan gelembung pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati juga merupakan antara aspek penting dalam peralihan ke fasa endemik.

Hishammuddin berkata, ia merangkumi aspek pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan; kemasukan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia; perjalanan berkaitan perniagaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; serta skim laluan perjalanan vaksinasi (VTL) udara di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri.

Skim VTL udara membolehkan individu yang telah divaksin lengkap melakukan perjalanan ke beberapa negara terpilih tanpa terikat dengan kewajipan menjalani kuarantin. - Bernama