Hutan terbakar: Bomba nyaris ditimpa balak

Pokok balak setinggi 20 meter ini tumbang hampir mengenai anggota bomba yang melakukan kerja-kerja pemadaman.
Pokok balak setinggi 20 meter ini tumbang hampir mengenai anggota bomba yang melakukan kerja-kerja pemadaman.
A
A
A

GERIK - Sepasukan anggota bomba nyaris maut apabila sebatang pokok balak setinggi 20 meter tumbang hampir mengenai mereka ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Bukit Gua Tedung berhampiran Kampung Air Ganda di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Penolong Penguasa Bomba Azizul Aswad Asaris berkata, kejadian kira-kira 12 tengah hari itu berlaku ketika anggota melakukan 'fire break' bagi memadam sisa kebakaran di kawasan seluas 130 hektar berkenaan.

"Semua anggota sedang memadam kebakaran dengan teknik 'fire break' dan tanam sisa kebakaran memandangkan sumber air amat terhad di kawasan bercerun itu. Tanpa disedari, sebatang pokok balak yang hangus di bahagian pangkal tumbang dan hampir mengenai anggota.

"Kejadian itu menyebabkan anggota lebih berjaga-jaga di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Teknik 'fire break' digunakan sekali gus berjaya mengawal kebakaran di lokasi.
Teknik 'fire break' digunakan sekali gus berjaya mengawal kebakaran di lokasi.

Menurutnya, operasi masih diteruskan di ketinggian 314 meter itu dengan memadam sisa bara yang tertinggal dalam operasi yang berlangsung sejak Khamis lalu.

"Api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya hari ini. Bagaimanapun, operasi belum boleh diisytiharkan tamat kerana perlu membuat pemantauan lanjut berikutan keadaan cuaca masih panas.

"Khidmat pegawai Jabatan Perhutanan negeri diperlukan bagi membuat pemantauan keseluruhan dengan menggunakan dron milik mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azizul Aswad berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.

"Kita beranggapan kebakaran hutan ini berpunca daripada kegiatan individu yang masuk hutan untuk mencari hasil hutan berikutan ia berhampiran dengan kawasan penduduk kampung.

"Di musim kemarau ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mencetuskan pembakaran terbuka ketika berada di hutan kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada semua pihak," katanya.