Mahkamah arah anak angkat Siti Bainun diserah kepada JKM

Siti Bainun Ahd Razali
Siti Bainun Ahd Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Selasa memerintahkan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili ibu remaja berkenaan ketika ditemui pemberita berkata, Majistret Norfarahain Roslan memutuskan demikian, selepas mendengar hujahan daripada peguam dan keterangan saksi iaitu ibu kandung remaja itu.

“Ibu kandung remaja itu tidak membantah anaknya diserahkan kepada JKM tetapi bukan kepada Siti Bainun. Mahkamah kemudian mengarahkan remaja itu ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Rembau di Negeri Sembilan sehingga usia 18 tahun, berserta syarat keluarga boleh melawat dua bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pendengaran permohonan Siti Bainun dan ibu remaja berkenaan untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas remaja itu.

Megat Syazlee berkata, mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk pendengaran permohonan Siti Bainun dan seorang lagi ibu bagi mendapatkan hak penjagaan dua kanak-kanak.

Sementara itu, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, 29, berkata, anak guamnya juga tidak membantah untuk menyerahkan remaja itu kepada JKM.

Menurut peguam itu, anak guamnya turut membaca pernyataan di dalam mahkamah antaranya menyatakan mana-mana pihak yang menjaga remaja berkenaan perlu memastikan keselamatan, kesihatan, dan pendidikannya dengan baik.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret menolak permohonan Siti Bainun dan dua ibu kandung untuk mendapatkan hak penjagaan dua kanak-kanak, masing-masing berumur tiga dan dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Ogos lalu, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai lepas dibatalkan serta-merta, di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.- Bernama