Bergaduh ketika mabuk, 14 ahli kongsi gelap ditahan

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 14 individu dipercayai ahli kongsi gelap dalam dua insiden pergaduhan di Kulai dan Seri Alam di sini pada tengah malam Ahad, 14 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan kesemua suspek yang juga lelaki tempatan berusia 21 hingga 40 tahun itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan.

Beliau berkata, punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan pertengkaran ketika kesemua suspek berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua suspek ini adalah membabitkan lima individu (Kumpulan 36), empat individu daripada Kumpulan 21 dan lima individu daripada Kumpulan 04.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 17 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Ayob berkata, penahanan kesemua suspek itu adalah penambahan kepada 16 individu disyaki ahli kongsi gelap yang ditahan menerusi Op Cahaya yang berlangsung pada 28 Oktober hingga 10 November lalu.

Katanya, kesemua suspek adalah berusia antara 17 hingga 60 tahun itu yang disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

“Sepanjang Op Cahaya ini, sebanyak 66 kes kekerasan telah dicatatkan iaitu sebanyak 30 tangkapan telah berjaya dilakukan dengan 16 daripadanya adalah ahli kongsi gelap.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ini kita kesan sebagai ahli kumpulan berdasarkan kesan tatu dan lambang pada tubuh badan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob berkata, sejak Januari, Polis Johor telah mengambil tindakan ke atas tujuh kumpulan kongsi gelap yang membabitkan tangkapan seramai 70 individu di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Pecahan geng kongsi gelap ini adalah melibatkan Geng 21 (29 orang), Geng 36 (16 orang), Geng 04 (sembilan orang), Geng 08 (lapan orang), Hong Hong San (dua orang), Ang Kong Kia (seorang) ran Ngo Sek Kee (lima orang).

“Daripada jumlah ini, seramai 20 individu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) yang melibatkan Geng 21 (13 orang) dan Geng 36 (tujuh orang),” katanya.