Lesen judi: Kerajaan Persekutuan wajar ikut langkah Kedah

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan wajar mengikuti langkah dilakukan kerajaan negeri Kedah dengan tidak memberikan kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen perjudian sedia ada.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Hafiz Mustafa Lubis berkata, pihaknya menyokong penuh hasrat kerajaan negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan judi dalam usaha menjadikan negeri ini bebas daripada aktiviti perjudian.

Hafiz Mustafa
Hafiz Mustafa

"Persatuan Ulama Kedah juga berharap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil langkah yang sama menghentikan pemberian lesen baharu untuk aktiviti perjudian agar ia tidak mendapat kemurkaan daripada Allah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan keputusan ini memandangkan tabiat berjudi tidak memberi kesan yang positif bahkan menghancurkan institusi kekeluargaan serta boleh mengancam keselamatan awam sekali gus melibatkan aktiviti jenayah yang berpunca daripada perjudian.

"Tabiat berjudi dalam kalangan rakyat perlu dibanteras supaya agenda pembangunan insan di Kedah dapat disegarkan semula," ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen perjudian sedia ada sebaik ia tamat tempoh di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persekitaran lebih baik untuk rakyat, selain mencapai sasaran ‘Kedah bebas judi’.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lesen perjudian yang telah tamat tempoh tidak akan diperbaharui dan ia berkuat kuasa di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.