PRN Melaka: Lawan dulu, gabung kemudian?

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

DINAMIK politik di Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membolehkan pelbagai kemungkinan terjadi, termasuklah parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, bertanding sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tambahan dengan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekang kempen secara bersemuka antara calon dengan pengundi, seakan memberi 'padang yang rata' kepada parti yang bertanding untuk meraih hati pengundi, terutama kepada pihak yang dilihat kurang mempunyai jentera parti.

Namun dalam masa yang sama, SOP ketat bagi mengekang penularan Covid-19 menyebabkan pemerhati politik sukar meramal, sejauh mana sokongan diterima Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) mahupun calon Bebas.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, ramalan ketika ini tiada mana-mana pihak mampu mendapat majoriti mudah 15, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau melihat parti-parti sukar mendapatkan kemenangan majoriti mudah 15 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, malah berkemungkinan tidak dapat mempertahankan beberapa kerusi daripada kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu.

“PH berhadapan saingan sengit di Duyong membabitkan persaingan enam penjuru dan Bemban (lima penjuru). Parti ini hanya kelihatan selesa di Machap Jaya, Ayer Keroh, Kesidang, Banda Hilir dan Kota Laksamana ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ketika ini, tiga parti besar yang bertanding masing-masing mempunyai pengaruh di kawasan yang ditandingi, manakala parti yang baharu bertanding seperti Putra, IMAN dan calon Bebas mungkin sekadar menyerikan suasana semata-mata.

Dapatan awal melihat BN selesa di 10 kerusi membabitkan kerusi Kuala Linggi, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai, manakala PH pula di 12 kerusi (Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Klebang, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban).

Artikel Berkaitan:

Sementara PN pula dilihat mempunyai peluang enam kerusi (Tanjung Bidara, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Telok Mas dan Pengkalan Batu).

Melihat kepada perkembangan itu, Shafezah berkata ada kemungkinan besar untuk parti-parti yang mendapat kerusi paling banyak walaupun tidak mendapat majoriti mudah, untuk bergabung dan membentuk kerajaan.

“PH hanya memerlukan tujuh daripada 20 kerusi kawasan majoriti Melayu, kerana DAP tidak menghadapi masalah untuk menang di lapan kawasan majoriti kaum Cina, berbanding UMNO atau Bersatu dan PAS, yang perlu menang sekurang-kurang 15 kerusi di kawasan majoriti Melayu. Akibat pertembungan antara UMNO dan Bersatu-PAS, ia menjadi pemudah cara bagi PH kembali berkuasa di Melaka.

“Jika PH menang kurang tujuh kerusi di kawasan majoriti Melayu pula, maka akan berlaku sekali lagi, pecah dahulu gabung kemudian, antara Umno, Bersatu dan PAS, untuk membentuk Kerajaan negeri Melaka.

“Apa yang akan berlaku pada PRN Melaka tidak boleh ditafsirkan akan berlaku pada PRU15, kerana jika UMNO menang besar dan Bersatu tewas, PAS akan berfikir kembali dengan siapakah sepatutnya parti itu akan bekerjasama pada masa hadapan,” katanya.

Menguatkan lagi pandangan ini, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas pelancaran manifesto BN Rabu lepas dipetik sebagai berkata, gabungan parti itu bersikap terbuka kepada mana-mana pihak untuk membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan parti mana yang akan mendapat kerusi paling banyak pada PRN Melaka, akan bergantung kepada peratusan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi pada 20 November nanti.

Beliau berkata, pada hari pengundian awal hari ini, sentimen penjawat awam terutama membabitkan anggota tentera dan polis, dilihat memihak kepada BN selepas beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.

“Bagaimanapun, Sabtu ini akan menentukan jumlah peratusan mengundi menepati ataupun tidak jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang meramalkan kira-kira 70 peratus akan keluar mengundi.

“Ini disebabkan ada pengundi di Melaka yang tidak dapat pulang untuk mengundi terutama yang tinggal di luar dari Melaka khususnya Singapura, ketakutan terhadap pandemik malah mungkin ada protes terhadap parti sendiri dalam pemilihan calon.

“Parti politik yang bertanding perlu mencari formula untuk mengajak rakyat untuk keluar mengundi sebagaimana yang dilakukan PH pada PRU14 lalu, yang memainkan sentimen untuk menumbangkan BN di peringkat kerajaan Persekutuan,” katanya.

Masih berbaki tiga hari lagi sebelum 482,549 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my