Caj pencemaran 20 sen di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac

Khalid Abd Samad. - Foto Bernama
Khalid Abd Samad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Caj pencemaran sebanyak 20 sen akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata caj berkenaan selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengatasi masalah pencemaran sisa plastik melalui Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

"MESTECC turut membenarkan semua kerajaan negeri termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengenakan caj pencemaran sebanyak RM0.20 kepada setiap beg plastik yang digunakan oleh pengguna semasa membeli-belah.

"Caj tersebut hanya boleh dikenakan ke atas setiap beg plastik biodegradasi manakala tindakan penguatkuasaan diteruskan kepada peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional," kata dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khalid, pendekatan berkenaan bertujuan untuk memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.

Selain itu, beliau berkata pendekatan tersebut diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau serta menjamin kelestarian alam sekitar.

Sejak penggunaan produk biodegradasi (mudah terurai) di Wilayah Persekutuan, peniaga dan penjaja telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau itu, kata Khalid.

Kementerian Wilayah Persekutuan berharap semua warga Wilayah Persekutuan positif dan dapat berganding bahu menjayakan inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau Di Wilayah Persekutuan, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

"Membawa beg sendiri semasa membeli belah amatlah digalakkan dan lebih memudahkan. Begitu juga sekiranya ingin membungkus makanan di kedai-kedai makan adalah digalakkan untuk membawa bekas sendiri.

Larangan penggunaan straw plastik masih diteruskan manakala penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020," katanya lagi. - Bernama