'Sanusi perlu diberi teguran berterusan'

Dari kiri: Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, Muhammad Sanusi
Dari kiri: Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak akan berputus asa menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang gemar mencetuskan kontroversi.

Ia susulan tindakan Muhammad Sanusi berulang kali mengusik pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi media sosial selepas perlawanan antara pasukan JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, di sini.

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab pihak mereka untuk menegur Muhammad Sanusi.

"Kita memang akan menegur Menteri Besar Kedah kerana ia merupakan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari semasa ke semasa.

"Insya-ALLAH, langkah menegur Menteri Besar Kedah tidak pernah berhenti sehingga sekarang memandangkan apa sahaja yang kenyataan dikeluarkan beliau melambangkan Kedah dan kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media ADUN Pembangkang pada Selasa.

Beliau berpendapat, Muhammad Sanusi perlu diberi teguran berterusan sekiranya kenyataan yang dibuat mampu memberi kesan negatif kepada negeri terutama Pulau Pinang.

"Daripada bergaduh dengan Pulau Pinang mengenai hutan dan air sungai, lebih baik berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk dapatkan pampasan untuk Kedah kerana kita dapat mengekalkan hutan dan keperluan menjaga jaminan makanan," katanya.

Phahrolrazi menjelaskan, beliau telah beberapa kali memberi teguran kepada Muhammad Sanusi tentang cara ADUN Jeneri itu mengeluarkan kenyataan, cara dan sikap yang dikhuatiri melebihi had.

Artikel Berkaitan:

"Berkaitan usikan beliau susulan perlawanan antara JDT dan KDA FC, sesi penggulungan pada Rabu mungkin ruangan terbaik untuk kita membuat teguran lagi,"katanya.

Bekas Exco Belia dan Sukan Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, teguran dan jawapan antara Tunku Ismail dengan Muhammad Sanusi tular dalam kalangan netizen di media sosial.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan mengakui dia juga memiliki perbezaan pandangan ketika menjadi bekas Setiausaha Kehormat KFA.

"Sebelum ini, kami dengan pihak Tunku Ismail memiliki perbezaan pandangan, juga perundangan tetapi kita menjawab dengan lebih berhemah serta 'rule of law' bukannya menjawab seperti netizen," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Muhammad Sanusi sepatutnya menjawab secara berhemah serta berfakta bagi menunjukkan nilai bahasa dengan pihak istana yang lebih baik bukannya berlandaskan emosi dan sentimen.

Dalam Facebook miliknya pada Selasa, Muhammad Sanusi sekali lagi membuat usikan apabila memuat naik gambar beliau menunjukkan cekodok yang dimakan biarpun (hidangan) McD di hadapannya.

“Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun hidangan )McDonald’s di depan.

“Selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar,” tulis Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah.

Muhammad Sanusi berkata demikian selepas menerima McDonald’s bersama jambangan bunga mawar daripada Tunku Ismail.

Semalam, Tunku Ismail memberi buah tangan hidangan itu sebagai respons balas susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang mengejek baginda berhubung soal diet.

“No diet? One way to keep a clown happy. McDonald's...Always work. (Tidak diet? Salah satu cara untuk gembirakan badut. McDonald's sentiasa berfungsi,” tulis baginda menerusi Instastories.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi mengusik Tunku Ismail menerusi media sosial selepas JDT terikat seri tanpa jaringan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 0-0 di Stadium Darul Aman, Kedah, Ahad lepas.

“Diet sakan pun tak leh menang jugak... tertomos (tertumus) pulak...adeh!!,” tulis Muhammad Sanusi.