Pegawai JKM tidak mengaku salah guna wang bantuan baiki rumah

Mohamad Zarir (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas didakwa atas tiga pertuduhan menyelahgunakan wang bantuan membaiki rumah pada Selasa.
Mohamad Zarir (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas didakwa atas tiga pertuduhan menyelahgunakan wang bantuan membaiki rumah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah RM9,000 pada tahun 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohamad Zarir Mohamad Khozali, 41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan P Nagajothi di Pejabat JKM Kulim pada 15 Mac 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zarir didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan Umi Kalsom Awang di Pejabat JKM Kulim pada 19 September 2016.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan M Jothi pada 15 Mac 2017 di lokasi yang sama.

Mohamad Zarir telah dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat serta denda.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin telah mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun Mohamad Zarir yang diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran merayu agar ikat jamin dapat dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri serta empat orang anak selain menanggung kedua ibu bapanya yang berusia 65 dan 68 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ikat jamin juga wajar dikurangkan memandangkan tertuduh akan digantung kerja selain bakal dibayar separuh gaji.

Harmi Thamri selepas mendengar hujah kedua-dua pihak kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan menetapkan semula sebutan kes pada 16 Disember depan.