X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Henti buang sampah dalam longkang

Sharudin (kanan) melihat pelbagai jenis sampah sarap yang terdapat di dalam longkang ketika mengadakan pemantauan kerja pembersihan longkang pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Masyarakat di Pahang perlu menghentikan tabiat membuang sampah sarap ke dalam longkang kerana sikap itu antara penyebab berlakunya bencana terutamanya banjir di kawasan mereka.

Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, situasi ini sudah cukup menggambarkan sikap masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik terhadap aspek kebersihan.

Menurutnya, pihaknya melalui syarikat konsesi Alam Flora mempunyai jadual bulanan untuk membersihkan longkang taman perumahan, namun usaha berkenaan hanya sia-sia jika sikap penduduk tidak berubah.

"Ada sebuah taman di daerah ini, tidak sampai dua minggu dibersihkan oleh kakitangan Alam Flora, ia kembali dipenuhi bermacam jenis sampah tersumbat dalam longkang.

"Kalau kita hendak tunggu sebulan sekali baru bersihkan longkang, memang bertimbunlah (sampah), selagi sikap mereka tidak berubah, sampai bila pun kita tidak boleh selesaikan masalah banjir kilat di beberapa kawasan di negeri.

"Kita sebenarnya kecewa dengan tabiat segelintir penduduk yang secara jelas tidak menunjukkan kepekaan mereka untuk menjaga kebersihan dan tahap kesedaran sivik mereka sangat mendukacitakan," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan kerja pembersihan longkang di sebuah taman perumahan di daerah ini pada Selasa.

Sharudin menjelaskan, kebanyakan sampah dibuang ke longkang bukan sahaja dari kediaman penduduk, tapi turut membabitkan peniaga tepi jalan di sepanjang laluan masuk ke taman berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya dan Alam Flora sudah melakukan apa yang termampu dan kerjasama penduduk serta peniaga diperlukan bagi memastikan tiada sampah dibuang ke dalam longkang.

"Sekarang musim tengkujuh, bila hujan lebat dan air longkang melimpah hingga (mengakibatkan) banjir kilat, mereka (penduduk) biasanya akan cakap kita (SWCorp dan Alam Flora) tidak buat kerja.

"Tapi hakikatnya kita sudah melakukan pembersihan longkang sebulan sekali, seperti jadual ditetapkan," ujarnya.

Sharudin mendedahkan, pihaknya bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta wakil kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau isu longkang dan saliran yang berpotensi menjadi punca banjir kilat.

Menurut beliau, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda turut berada dalam pasukan khas itu dan akan menyebabkan isu tersebut diselesaikan pada kadar segera.

"Kita tahu ada agensi yang mempunyai kekangan peruntukan bagi melakukan kerja penyelenggaraan, jadi kita bincang dan kalau perlukan tindakan segera, kita adakan gotong-royong untuk menjimatkan kos.

'Ini semua dilakukan bagi mengelak berlaku bencana banjir kerana kita sudah berada memasuki fasa Monsun Timur Laut," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!