Kemaskini jangka hayat vaksin Coronavac, Comirnaty diluluskan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan permohonan variasi Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengemaskini tempoh jangka hayat produk bagi vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelanjutan tempoh jangka hayat produk Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

Menurutnya, bagi kedua-dua pek satu dan dua dos Coronavac, tambahan adalah enam bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial bagi vaksin yang disimpan pada suhu dua hingga lapan darjah Celsius.

"Bagi Comirnaty dengan nombor pendaftaran MAL21016022AZ dan MAL21036039ASZ, tambahan adalah tiga bulan dari tarikh asal yang dicetak pada label vial.

"Pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan kepada sembilan bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu -90 darjah Celsius sehingga -60 darjah Celsius," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kelulusan pelanjutan jangka hayat tersebut juga terpakai kepada semua stok secara retrospektif sebelum permohonan variasi ini diluluskan.

"Pihak pengilang diberi masa enam bulan dari tarikh kelulusan permohonan variasi untuk mengemaskini tarikh luput yang dicetak pada label vial untuk produk vaksin yang akan dikilangkan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan melanjutkan jangka hayat stok vaksin yang masih berada di dalam pegangan stok KKM.

Artikel Berkaitan:

"Pelanjutan jangka hayat ini juga terpakai kepada stok yang akan diterima daripada pengilang dalam masa terdekat.

"KKM ingin memaklumkan bahawa informasi nombor kelompok yang terlibat boleh dilayari di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my," katanya.