Mora puji aksi Fadzrul, Asnan

Fadzrul (tengah) ketika beraksi menentang JDT.
Fadzrul (tengah) ketika beraksi menentang JDT.
A
A
A

KELIBAT dua pemain Kedah Darul Aman FC, Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad mencuri perhatian ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia yang menyaksikan pertembungan kedua-dua pasukan itu berakhir tanpa jaringan.

Menurut Mora, beliau mengakui sudah lama menanti perlawanan yang sengit selepas 17 kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia musim ini sambil menyifatkan pasukan tuan rumah benar-benar memberi tentangan hebat kepada mereka.

Malah, pengendali berusia 42 tahun itu turut memuji persembahan yang ditampilkan pemain lawan, terutamanya Fadzrul dan Asnan yang menjadi penghalang buat JDT untuk melakukan asakan bagi memburu gol.

Namun kata Mora, keputusan di Stadium Darul Aman semalam tidak mematahkan semangat pasukannya untuk memastikan anak buahnya mampu meraih kemenangan berharga di laman sendiri bagi aksi suku akhir kedua, Khamis ini.

“Pemain berjersi nombor 20 (Fadzrul) dan 4 (Asnan) sangat-sangat cemerlang, mempunyai semangat juang yang tinggi, ada personaliti yang bagus, dan mereka tahu apa yang perlu dibuat walaupun tanpa pemain dari Singapura (M. Anumanthan Kumar).

“Baddrol Bakhtiar semestinya pemain berpengalaman yang tahu macam mana untuk bermain dengan masa yang ada, jadi saya rasa ia satu perlawanan yang cukup sengit.

“Saya rindu untuk tengok aksi seperti ini tanpa kita tahu apa yang akan berlaku dan selepas 17 kemenangan kita raih, saya rindukan situasi dalam padang macam ini, ianya bagus untuk pasukan dan untuk pemain juga.

“Kedah memang memberikan tentangan yang cukup kuat dan bagus untuk kita terus melawan. Jadi sekarang saya rasa bonus untuk kita pula apabila beraksi di laman sendiri, dan kita akan beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu nanti”, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan anak buahnya tidak gentar untuk terus mempamerkan aksi lebih konsisten di Stadium Sultan Ibrahim pula meskipun JDT sentiasa menjadi pilihan untuk mara ke separuh akhir.

Secara keseluruhan, beliau cukup berpuas hati dengan prestasi barisan pemain untuk sedaya upaya memastikan gawang tidak dibolosi walaupun hanya beraksi dengan dua pemain import sahaja iaitu Kpah Sherman dan Renan Alves.

“Memang selalunya JDT akan menjadi pasukan pilihan, jadi tidak kisah kami bermain di tempat lawan atau sebaliknya, semua nak tengok JDT di final.

“Saya hanya boleh cakap, kami hanya merendah diri sahaja dan berharap kita mampu melakukan kejutan setakat mana yang mampu kita buat.

“Kredit kepada semua pemain di mana mereka melaksanakan perancangan yang ditetapkan dengan baik, dan saya ada bercakap dengan mereka sebelum perlawanan bagaimana mereka perlu ada keinginan, disiplin serta keazaman yang tinggi. Ternyata aksi malam ini (semalam) adalah lebih baik berbanding ketika menentang Melaka United tempoh hari," jelasnya.