KHM pinda tarikh penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) memutuskan untuk meminda tarikh penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 dari 25 November hingga 2 Januari tahun depan kepada 11-30 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh memaklumkan perubahan tarikh MJHL itu bagi mengelak bertembung dengan takwim persekolahan yang dijangka berakhir pada 10 Dis selain mengambil kira faktor musim tengkujuh ketika ini.

“Jika nak anjur MJHL pada tarikh asal tidak sesuai kerana ketika ini sesi persekolahan masih berlangsung sehingga 10 Dis dan ini menyebabkan banyak pasukan sukar mendapat pelepasan daripada Kementerian Pendidikan untuk bertanding,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Sementara itu, Anil menegaskan menjadi tanggungjawab setiap pengurus pasukan untuk memastikan pemain sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mengekang jangkitan C-19 sepanjang MJHL berlangsung.

Dalam pada itu, Anil berkata KHM juga sedang memikirkan untuk menambah satu lagi venue berkemungkinan di Lembah Klang untuk penganjuran MJHL kali ini bagi mengurangkan kepadatan jadual saingan liga berkenaan dan akan memutuskan lokasi tambahan itu dalam masa dua minggu akan datang.

Buat masa ini, MJHL 2021 dijangka dilangsungkan di Padang 1 dan Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini.

Anil pada masa sama mengesahkan tiada pasukan yang akan menarik diri daripada MJHL 2021 setakat ini dan telah memaklumkan tarikh baharu penganjuran kejohanan itu kepada kesemua 25 pasukan yang bertanding baru-baru ini.

Mengenai saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang sedang berlangsung ketika ini, Anil ternyata berpuas hati dengan kelancaran kejohanan itu yang dijangka berakhir pada 20 Nov.ember

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau turut menerima reaksi positif daripada ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan, A. Arul Selvaraj dan Pengarah Teknikal (Pembangunan) KHM Paul Revington yang kagum dengan kualiti permainan ditonjolkan bakat baharu pada kejohanan tersebut. - Bernama