'Jangan lupa penyakit musim tengkujuh'

Dr Hafidzah
Dr Hafidzah
A
A
A

KOTA BHARU – Masyarakat dinasihatkan tidak lupa kepada penyakit ketika musim tengkujuh selain turut berwaspada dengan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Pengerusi Biro Kesihatan, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, bulan November dan Disember kebiasaannya berlaku musim tengkujuh di Pantai Timur.

Menurutnya, kebimbangan timbul apabila ada di antara masyarakat yang mengalami demam dan batuk disebabkan pertukaran cuaca namun mereka membiarkan sahaja simptom berkenaan.

“Ketika itu akan berlaku peningkatan penyakit yang membawa gejala demam selesema, batuk dan sakit tekak bukan sahaja orang dewasa tetapi kanak-kanak.

“Mungkin ada yang mengalami demam dan selesema dengan alasan disebabkan pertukaran cuaca namun harus diingat, banyak gejala itu membabitkan penyakit Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai melakukan ujian kendiri Covid-19 dan tidak berlengah bertemu doktor untuk pemeriksaan awal.

"Selain itu, dapatkan suntikan penggalak sebagai perlindungan tambahan,”katanya.

Dr Hafidzah menambah, serangan penyakit cirit-birit dan muntah juga boleh terjadi di musim tengkujuh disebabkan pelbagai faktor, termasuk bawaan makanan dan air tercemar seperti tifoid dan kolera yang lebih berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Ketua AWAN Kelantan itu juga memberitahu, penyakit dari bawaan nyamuk juga sering berlaku di musim berkenaan yang boleh menyebabkan demam denggi.

“Antara langkah penjagaannya ialah menghapuskan kawasan utama takungan air untuk mengelak berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

“Semoga kita dan keluarga beroleh kesihatan optimum untuk meneruskan kehidupan yang produktif. Apa yang penting berwaspada dengan penyakit Covid-19 dan penyakit lain. Jaga diri sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.