Majlis Bandaraya Kuantan terima anugerah WHO

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN- Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menerima anugerah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas usaha membantu golongan rentan bandar yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Anugerah dimenangi kategori pencapaian melibatkan kumpulan yang terdedah untuk penjagaan dan perlindungan semasa wabak Covid-19 itu diumumkan WHO baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan Kuantan meraih anugerah itu susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin ke atas Kumpulan Rentan Bandar.

Menurutnya, projek itu memberi keutamaan terhadap tiga golongan rentan di bandar raya ini.

"Golongan rentan ini terdiri golongan miskin tegar, golongan sasaran berpendapatan rendah B40 khususnya yang menyewa di kawasan perumahan dan golongan rentan yang tinggal di pusat bandar raya.

"Seramai 11,625 orang dalam kalangan golongan itu telah dibantu.

"Ia termasuk 6,679 orang penerima bantuan makanan, penerima bantuan kewangan (2,179 orang),penerima kemudahan kesihatan (1,907 orang), penerima pendidikan (730 orang), penerima peluang pekerjaan (75 orang) dan penerima bantuan penginapan (55 orang)," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, kejayaan projek itu dilaksanakan MBK itu hasil kerjasama kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), serta pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Artikel Berkaitan:

"Projek khas ini hasil beberapa siri perbincangan dan kajian di lapangan, maklum balas wakil-wakil penduduk setempat dengan fokus utama kepada soal keselamatan makanan, penginapan selamat, kemudahcapaian kemudahan kesihatan, bantuan sosial dan pendidikan, bantuan kewangan dan peluang pekerjaan," katanya.

Tambah beliau, Kuantan dan Kuching, Sarawak antara tujuh bandar raya seluruh dunia yang memenangi anugerah dalam pelbagai kategori anjuran pertubuhan dunia itu.

"Melalui anugerah terbaharu ini, saya berharap, kepimpinan serta seluruh pegawai dan kakitangan MBK dapat terus mengambil pelbagai langkah demi menjayakan lagi usaha menjadikan Bandaraya Kuantan sebagai bandar raya gemilang dan selesa didiami penduduknya.

"Saya ucapkan tahniah kepada warga MBK di bawah pimpinan Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin atas kejayaan ini," katanya.