Amerika Syarikat taja radar pertahanan udara jarak jauh

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keupayaan pertahanan udara negara melalui Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan akan dipertingkat dengan rancangan penggantian radar pertahanan udara jarak jauh yang akan ditaja kerajaan Amerika Syarikat, Dewan Rakyat dimaklumkan pada Selasa.

Ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tajaan itu adalah melalui program kerjasama strategik ‘Building Partner Capacity’.

Selain penggantian radar berkenaan, katanya di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), beberapa inisiatif lain sedang berjalan dan dirancang bagi menambah baik pangkalan itu.

Ini katanya termasuk peruntukan sebanyak RM63.3 juta bagi pembinaan 97 unit rumah keluarga Angkatan Tentera Malaysia yang akan bermula tahun hadapan, RM9 juta bagi pembaikan cerun yang sedang dalam proses lantikan kontraktor dan RM25 juta bagi kerja-kerja turap semula dispersal dan jalan rayap.

Selain itu, RM10 juta diperuntuk bagi pembinaan pelbagai bangunan baharu dan RM12 juta dirancang diperuntuk bagi melaksanakan projek keselamatan dan pertahanan keselamatan pangkalan, seperti pagar perimeter, kamera litar tertutup dan menara pemerhati.

“Insya-ALLAH dengan terlaksana semua program ini, Kementerian Pertahanan yakin, pangkalan udara Labuan akan kekal berupaya sebagai pangkalan TUDM yang utuh dalam hadapi sebarang ancaman dari negara asing,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosman Isli (Warisan-Labuan) yang mahu tahu rancangan kerajaan bagi menambah baik Pangkalan Udara TUDM Labuan.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, dalam memperkukuh kawalan keselamatan Sabah, kerajaan bercadang menambah satu lagi briged Tentera Darat untuk kawasan pedalaman Sabah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kerajaan juga di bawah RMK12 bercadang memperkuat pertahanan maritim dengan perolehan aset baharu termasuk lapan Littoral Mission Ship dan 13 Fast Interceptor Craft.

Dalam aspek kebajikan, katanya di bawah rancangan negara lima tahun itu, kerajaan bercadang mewujudkan 10,200 unit rumah angkatan tentera seluruh negara dan menaik taraf Hospital Kem Terendak. - Bernama