Vaksin Covid-19: Dasar 'walk in' dos penggalak diumum petang ini

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai dasar 'walk in' atau datang terus bagi mendapatkan suntikan dos penggalak pada Selasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) yang akan dipengerusikan beliau petang Selasa.

"Pengumuman antara lain bakal menyentuh mekanisme dan syarat bagi individu yang ingin hadir secara terus ke pusat pemberian vaksin untuk mendapatkan suntikan penggalak.

"Petang ini saya akan pengerusikan mesyuarat CITF-B dan keputusan akan diumumkan hari ini mengenai kemudahan 'walk in'," katanya pada sidang media selepas melancarkan Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena InsigHT2021 pada Selasa.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Perkhidmatan Kesihatan Malaysia (MHTC), Mohd Daud Mohd Arif.

Pada Khamis lalu, Khairy berkata sebanyak 40 peratus golongan sasaran yang diberikan janji temu untuk mendapatkan pelalian dos penggalak vaksin Covid-19 tidak hadir untuk menerima suntikan masing-masing.

Situasi berkenaan jelas menimbulkan kebimbangan kerana jumlah kehadiran penerima untuk dos pertama dan kedua vaksin, sebelum ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah lebih tinggi iaitu 95 peratus. - Awani

Artikel Berkaitan: