Sembilan anggota polis terbunuh di Rakhine

Kelihatan mayat anggota polis yang terbunuh dalam serangan militan di Balai Polis Yoetayoke, berhampiran Sittwe di negeri Rakhine, semalam. - FOTO AFP
Kelihatan mayat anggota polis yang terbunuh dalam serangan militan di Balai Polis Yoetayoke, berhampiran Sittwe di negeri Rakhine, semalam. - FOTO AFP
A
A
A

RAKHINE - MYANMAR. Sembilan anggota polis dilapor terbunuh susulan serangan militan di negeri Rakhine, yang sekian lama dibelenggu konflik etnik dan keagamaan.

Serangan lewat petang semalam berlaku di Balai Polis Yoetayoke, berhampiran Sittwe di negeri Rakhine.

Gambar yang dirakam menunjukkan beberapa mayat yang berlumuran darah bergelimpangan di atas tanah dan ditutupi selimut.

"Sembilan anggota polis terbunuh, seorang cedera manakala seorang lagi masih hilang," kata sumber polis yang enggan identitinya didedahkan.

Setakat ini tiada pihak tampil bertanggungjawab melakukan serangan, namun laporan mengatakan terdapat senjata yang dilarikan dari pos kawalan terbabit.

Kekejaman oleh pasukan tentera Myanmar pada 2017 memaksa hampir 740,000 etnik Muslim Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh bagi mencari perlindungan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabel kekejaman tersebut sebagai 'pembersihan etnik' dan menuntut pendakwaan terhadap beberapa jeneral kanan yang dituduh melakukan jenayah kemanusiaan.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan kini melancarkan 'perang' terhadap sebuah kumpulan militan yang mendakwa mewakili etnik Buddha di Rakhine yang turut dituduh membantu tentera menyingkirkan etnik Rohingya.

Artikel Berkaitan:

Pasukan pemberontak Tentera Arakan (AA) pula giat melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan negara dan pegawai kanan dalam usaha mendapatkan lebih autonomi dan hak untuk penduduk Rakhine.

DIBELENGGU KONFLIK

Rakhine tidak boleh diakses tanpa pengawasan rapi pihak kerajaan dan sebarang maklumat berhubung situasi di negeri bergolak itu amat sukar untuk dipastikan secara tepat.

Namun, apa yang pasti, utara Rakhine kini kembali berdepan konflik apabila pihak tentera membawa masuk ribuan anggota tambahan dan menyasarkan kedudukan AA dengan senjata berat.

Desas-desus mengatakan terdapat sokongan terhadap perjuangan AA yang semakin rancak sejak penubuhan pada 2009 dan ia kini dipercayai mempunyai ribuan pengikut.

Serangan berdarah pada Hari Kemerdekaan awal Januari 2017 di empat pos kawalan polis telah 'melonjakan' nama AA, sekali gus mencetuskan tindak balas pihak tentera yang menuntut bela ke atas puak pemberontak susulan kematian 13 anggota polis dalam serangan tersebut.

Krisis Rakhine semakin tenat berikutan kegagalan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi membela etnik Muslim Rohingya yang tertindas, sebaliknya mendakwa komuniti antarabangsa hanya memfokuskan kepada 'masalah' negara itu. - AFP