Jepun beri dos penggalak vaksin Covid-19 mulai 1 Disember

Jepun akan mula memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 mulai 1 Disember selepas mendapat kelulusan panel Kementerian Kesihatan pada Isnin.
Jepun akan mula memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 mulai 1 Disember selepas mendapat kelulusan panel Kementerian Kesihatan pada Isnin.
A
A
A

TOKYO - Jepun akan mula memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 mulai 1 Disember selepas mendapat kelulusan panel Kementerian Kesihatan pada Isnin.

Vaksin dibangunkan Pfizer Inc dan BioNTech SE menjadi satu-satunya vaksin yang akan digunakan untuk dos ketiga, lapor Agensi Berita Kyodo

Menurut panel itu, pada asasnya individu perlu menunggu lapan bulan selepas dos kedua sebelum boleh menerima dos ketiga, namun, kerajaan tempatan boleh memendekkan selang waktu itu kepada enam bulan jika perlu, sebagai contoh untuk mengekang lonjakan jangkitan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Fumio Kishida berikrar memulakan pemberian dos ketiga dalam tahun ini, dimulakan dengan kakitangan perubatan sebelum diperluaskan kepada warga emas pada Januari.

Individu berumur 18 tahun ke atas layak mendapat suntikan penggalak dan mereka berkhidmat dalam bidang berisiko tinggi digalakkan untuk mendapatkan dos tersebut.

Kerajaan tempatan akan mula menghantar baucar untuk dos penggalak itu akhir bulan ini.

Hanya mRNA vaksin dihasilkan Pfizer atau Moderna akan diberikan untuk dos penggalak. Bagaimanapun, vaksin Moderna masih belum diluluskan Kementerian Kesihatan sebagai dos ketiga.

Vaksin AstraZeneca, yang menggunakan teknologi berbeza juga akan diteliti dengan lebih lanjut sebelum digunakan sebagai suntikan penggalak.

Artikel Berkaitan:

Menurut kerajaan Jepun, lebih 75 peratus penduduk negara itu sudah lengkap divaksin dan lebih 78 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. - Bernama