AS berang Rusia tembak satelit di angkasa lepas

Tujuh angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa terpaksa berlindung di dalam dua buah kapal angkasa lepas ekoran tindakan Rusia menembak satelit di angkasa lepas. - Foto AFP
Tujuh angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa terpaksa berlindung di dalam dua buah kapal angkasa lepas ekoran tindakan Rusia menembak satelit di angkasa lepas. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengutuk tindakan Rusia yang melancarkan ujian peluru berpandu yang berbahaya apabila menembak satelitnya yang tidak lagi berfungsi di angkasa lepas.

Menurut data, satelit seberat 2,000 kilogram yang dilancarkan ke angkasa lepas pada tahun 1982 itu, Cosmos-1408 hancur berkecai dalam satu ujian peluru berpandu yang berlaku lewat 14 November atau awal 15 November lalu.

Kali terakhir satelit itu dikesan ialah ia berada pada ketinggian kira-kira 485 kilometer dari bumi.

Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken berkata dalam satu kenyataan bahawa Persekutuan Rusia telah mengendalikan satu ujian peluru berpandu pemusnah antisatelit ke arah satelitnya sendiri.

Menurutnya, ujian berbahaya dan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan lebih 1,500 serpihan di orbit dan ratusan ribuan lagi serpihan kecil akibat ujian peluru berpandu itu.

Tujuh angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), iaitu empat dari AS, seorang warga Jerman dan dua rakyat Rusia terpaksa berlindung dengan menaiki kapal angkasa-kapal angkasa yang sepatutnya membawa mereka pulang ke bumi.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), mereka terpaksa berada di dalam dua kapal angkasa tersebut selama dua jam.

Ketua Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata dalam satu kenyataan bahawa adalah tidak munasabah Rusia membahayakan bukan sahaja rakyat AS dan angkasawan lain di ISS tetapi juga terhadap angkasawannya sendiri selain dari China yang berada di stesen angkasa lepas negara tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: