Bank Negara serbu 22 premis i-Serve Online Mall, rampas RM118.7 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 22 premis i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan syarikat sekutunya telah diambil tindakan penguatkuasaan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kenyataan pada Selasa memaklumkan, kesemua premis di Kuala Lumpur dan Selangor diserbu dan dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.

"Tindakan serbuan tersebut juga telah menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan dan wang tunai dirampas, yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta."

“Tindakan penguatkuasaan bersama ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara agensi untuk membanteras jenayah kewangan di Malaysia.

“Ia diselaraskan oleh Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan BNM sebagai agensi utama bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia,” kata kenyataan itu.

Melalui kenyataan sama, BNM memaklumkan di bawah seksyen 137(1) FSA merupakan menjadi satu kesalahan menerima deposit tanpa lesen.

“Siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram juga akan dijalankan di bawah AMLA.

“Jika sabit kesalahan boleh denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 15 tahun," menurut kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut menyebut, sebagai perlindungan, orang ramai diingatkan untuk hanya meletakkan deposit dan/atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar oleh pihak berkuasa yang berkenaan

Menurut BNM, pihaknya dan SC menggesa orang ramai berwaspada apabila melabur dengan syarikat tempatan atau asing yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.

“Sekiranya orang ramai mengetahui atau telah didekati dengan peluang pelaburan sedemikian yang dipromosikan di media sosial, melalui e-mel atau telefon, mereka digalakkan untuk melaporkan perkara tersebut dengan menghubungi BNM atau SC di BNM (03-26910824) dan SC (03-62048999),” jelasnya.