Guan Eng gagal lagi pindah kes ke Mahkamah Tinggi

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kanan) hadir bersama peguamnya, Gobind Singh Deo bagi mendengar keputusan rayuannya untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kanan) hadir bersama peguamnya, Gobind Singh Deo bagi mendengar keputusan rayuannya untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan raya yang berlangsung di Mahkamah Sesyen dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu diambil selepas tiga panel hakim yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Susulan keputusan tersebut, perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi akan diteruskan pada 29 November, dengan setakat ini telah memanggil saksi pendakwaan ke-11.

Ketika keputusan penghakiman dibaca oleh Che Mohd Ruzima, panel hakim mendapati tiada kesilapan yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan perayu gagal untuk memenuhi kehendak yang diperlukan di bawah perenggan dalam Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berpandangan bahawa pendekatan perayu menggunakan seksyen itu khusus untuk perbicaraan Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan perayu hingga Mahkamah Persekutuan tidak sewajarnya dibenarkan.

“Perlu diulangi bahawa perayu gagal memenuhi kehendak perenggan dalam Kanun Tatacara Jenayah itu, maka kami sebulat suara menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng.

Pada 8 Julai lalu, Guan Eng memfailkan permohonan supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan antaranya melibatkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan:

Ia berhubung pemfailan penyataan pembelaan yang merupakan persoalan penting untuk mendapat perbicaraan adil yang boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Pada 12 Julai pula, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Ahli Parlimen Bagan itu untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar, di sini pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.