Tiada masalah bekalan minyak masak bersubsidi di Pulau Pinang

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang membuat pemeriksaan di kedai runcit dan premis perniagaan berhubung bekalan minyak masak paket bersubsidi.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang membuat pemeriksaan di kedai runcit dan premis perniagaan berhubung bekalan minyak masak paket bersubsidi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menafikan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri ini.

Pemeriksaan juga telah dijalankan ke atas beberapa premis runcit di dua daerah iaitu Timur Laut serta Barat Daya dan mendapati bekalan minyak masak paket berada di pasaran.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.434 juta kilogram minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) di Pulau Pinang setiap bulan mendapati, tidak berlaku gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran.

Menurutnya, sebanyak 1.9 juta kg minyak masak bersubsidi itu telah diedar ke pasar raya dan peruncit untuk kegunaan domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 juta kg akan diedarkan pada bulan ini.

"Tiada masalah bekalan minyak paket 1kg bersubsidi di dua daerah iaitu Timur Laut dan Barat Daya seperti yang dilaporkan oleh akhbar pada Sabtu. Laporan mengatakan peniaga kecil di dua daerah itu sukar untuk mendapatkan bekalan minyak peket juga tidak benar.

"Isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi ini dibangkitkan kerana keinginan peniaga atau pengusaha makanan untuk membuat pembelian secara pukal (dalam kuantiti yang banyak)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa bekalan minyak masak paket berkurangan di pasaran khususnya di bahagian pulau iaitu di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Katanya lagi, tiga daripada 24 syarikat pembungkus bahan mentah itu beroperasi di Georgetown dengan kuota pengeluaran bulanan sebanyak 247,000kg bagi kegunaan pengguna domestik di dua daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada tiga syarikat itu, syarikat pembungkus lain yang beroperasi di Seberang Perai turut mengedarkan minyak masak bersubsidi 1kg ke dua daerah tersebut. Mengenai had pembelian, minyak paket bersubsidi ini hanya untuk kegunaan isi rumah, peniaga tidak dibenarkan membeli.

"Oleh itu, tidak timbul isu peniaga kecil sukar untuk mendapatkan minyak paket bersubsidi bagi kegunaan perniagaan mereka seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan. Ini kerana, peniaga tidak termasuk dalam golongan sasar.

"Had pembelian untuk memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan, bukannya peniaga," katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan dan pemantauan terhadap rantaian bekalan minyak masak subsidi 1kg akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan ada di pasaran untuk kegunaan pengguna domestik.

"Kami juga akan memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan ke atas subsidi yang diberikan dalam pengeluaran dan pengedaran minyak masak bersubsidi 1kg ini.

"Orang awam diminta untuk menghubungi pejabat negeri KPDNHEP atau mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai keberadaan bekalan barang kawalan di pasaran bagi mengelakkan atau menimbulkan keadaan selain situasi pembelian panik kepada semua pihak," katanya.