Hasil kajian Akta 711 dibentang kepada Jemaah Menteri bulan depan

Wan Junaidi menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Wan Junaidi menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, tujuh isu melibatkan pindaan beberapa Seksyen akta itu masih dalam kajian dan penelitian Jawatankuasa Kerja Pindaan Akta 711.

Jawatankuasa kerja itu ditubuhkan bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan dan penambahbaikan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri daripada pihak agensi penguatkuasa, agensi atau jabatan di negeri, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Tujuh isu yang berkaitan dengan Akta 711 telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan akta itu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai cadangan mengkaji semula akta itu dan keberkesanannya melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku serta rasuah berprofil tinggi.

Wan Junaidi mengakui terdapat kekurangan sama ada dalam pelaksanaan akta itu atau dalam peruntukan akta itu sendiri, justeru pindaan akta perlu dilakukan.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikemukakan dari 2011 hingga sekarang, jumlah aduan yang diterima oleh agensi penguat kuasa adalah tinggi iaitu seramai 73,545 namun jumlah pemberi maklumat hanya 527 orang.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan telah diadakan termasuk sesi libat urus dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Projek Akauntabiliti Kerajaan (GAP).

Akta 711 digubal bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan itu disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya.

Ia juga selaras dengan inisiatif yang diterajui oleh kerajaan dengan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) pada 20 September 2008. - Bernama