Djokovic teruja terima trofi pemain nombor satu dunia kali ke-7

Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dianugerahkan trofi setelah berjaya mengekalkan status selaku pemain nombor satu dunia buat kali ketujuh, sempena Kejohanan Nitto ATP di Turin, pada Isnin. - Foto EPA
Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dianugerahkan trofi setelah berjaya mengekalkan status selaku pemain nombor satu dunia buat kali ketujuh, sempena Kejohanan Nitto ATP di Turin, pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic mengakui teruja apabila dianugerahkan trofi setelah berjaya mengekalkan status selaku pemain nombor satu dunia buat kali ketujuh, sempena Kejohanan Nitto ATP di Turin, pada Isnin.

Menurut Djokovic, kejayaan itu sekali gus telah memecahkan rekod bekas pemain nombor satu dunia, Pete Sampras sebelum ini.

“Saya sangat terharu dengan anugerah ini, apatah lagi ia telah memecahkan rekod pemain yang menjadi idola saya selama ini iaitu Pete Sampras.

“Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila anda telah memecahkan rekod pemain yang selama ini menjadi pujaan dan idola anda.

“Sejak kecil saya memang meminatinya dan berazam untuk berada di tempatnya (pemain nombor satu dunia) satu hari nanti dan kini ia telah pun menjadi kenyataan,” katanya.

Untuk rekod, bintang tenis Serbia itu telah memastikan dirinya selaku pemain nombor satu dunia sejak 11 tahun lalu mulai 2011, 2012, 2014, 2015, 2018, 2020 dan kini 2021.

Malah, Djokovic juga pernah meraih tiga gelaran Grand Slam apabila muncul juara Terbuka Australia, Roland Garros dan Wimbledon, ATP Masters 1000, ATP 250 (Terbuka Belgrade) selain Terbuka Itali dan Terbuka Amerika Syarikat (US Open).

Sementara itu, Djokovic berazam untuk menjuarai Kejohanan Nitto ATP di Turin setelah menewaskan Casper Ruud 7-6 (4), 6-2 pada aksi pembukaan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

“Setelah menang pada aksi pembukaan, kini saya mahu mara lebih jauh pada kejohanan kali ini. Saya mahu muncul juara.

“Tetapi saya perlu berhati-hati kerana akan berdepan dengan pemain pilihan kelima kejohanan, Andrey Rublev yang mengejutkan pemain nombor empat dunia, Stefanos Tsitsipas pada pusingan awal,” katanya.