X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Lelaki dicekup bersama rampasan dadah bernilai RM110,000

Polis menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai 'penyimpan stok' dadah dan merampas 8,000 biji pil yaba dalam serbuan di kawasan tempat letak kereta kawasan perumahan Taman Rantau Mas, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A

PASIR MAS - Polis menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai penyimpan stok dadah dan merampas 8,000 biji pil yaba dalam serbuan di tempat letak kereta perumahan Taman Rantau Mas, Rantau Panjang di sini pada Isnin.

Penahanan lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai buruh pada jam 8.30 malam itu turut membawa kepada rampasan 67.5 gram heroin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, nilai keseluruhan rampasan kedua-dua jenis dadah itu dianggarkan berjumlah RM110,000.

"Sejurus menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pada masa sama suspek telah mencampakkan bungkusan berwarna kuning di kawasan tempat letak kereta itu.

Beliau berkata, sambil disaksikan oleh suspek, pemeriksaan ke atas bungkusan kuning itu membawa kepada penemuan dadah tersebut.

Mohd Nasaruddin berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku kesemua dadah yang dirampas itu adalah miliknya.

"Suspek turut mengaku dia merupakan seorang 'penyimpan stok' kepada seorang lelaki yang merupakan dalang di sebalik kegiatan ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!