Isu banjir: Pengundi harap bukan janji kosong calon PRN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Isu banjir antara 'modal' utama kempen kebanyakan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berdepan masalah itu sejak puluhan tahun.

Antara janji mereka ialah akan membantu menyelesaikan masalah tersebut jika dipilih mewakili rakyat di kawasan terbabit pada hari pengundian 20 November ini.

Namun, persoalan yang berlegar dalam kebanyakan pengundi di Melaka, mampukah kerajaan negeri yang akan dibentuk kelak menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sejak 20 tahun kebelakangan ini, memandangkan tiga kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini - Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) - gagal berbuat demikian.

Berdasarkan statistik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, sebanyak 124 kawasan dikenal pasti sering dilanda banjir, melibatkan tiga daerah dengan Melaka Tengah paling banyak iaitu 59 lokasi, diikuti Jasin (42) dan Alor Gajah (23).

Di daerah Melaka Tengah, kawasan yang sering dilanda banjir antaranya ialah Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Di Jasin pula melibatkan antaranya Kampung Selandar, Batang Melaka, Kampung Relau, Kampung Kesang Tua, Tehel, Kampung Ayer Panas, Kampung Lubok Kasau, Kampung Ulu Duyong, Kampung Merlimau Barat, Kampung Kilang Berapi dan Kampung Air Barok.

Sementara di Alor Gajah, kawasan yang terjejas termasuk Kampung Dalong, Kampung Ganun, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Pulau, Kampung Belimbing Dalam, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai.

Pada tahun lepas (2020) sahaja, sebanyak 16 kejadian banjir direkodkan dengan yang terburuk pada 1 November di daerah Melaka Tengah dan 4 November di Alor Gajah, melibatkan keseluruhan 729 mangsa yang dipindahkan ke 16 pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Isu banjir yang semakin serius di Melaka mendapat perhatian kerajaan persekutuan apabila Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menyentuh permasalahan tersebut dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru.

Menurut pakar alam sekitar Prof Dr Hafizan Juahir, kebanyakan kejadian banjir di Melaka merupakan banjir kilat yang berlaku di luar jangkaan disebabkan paras air sungai naik pada kepantasan yang sangat luar biasa sehingga melepasi tebing sungai dan melimpah ke kawasan petempatan berhampiran.

Hafizan yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menjelaskan situasi itu berpunca daripada dua keadaan utama, iaitu hujan yang turun dalam keadaan luar biasa lebat, lebih-lebih lagi sekarang yang dipercayai kesan perubahan iklim dunia.

"Situasi ini diburukkan lagi dengan masalah penyelenggaraan sungai serta perubahan guna tanah di persekitaran tebing sungai akibat pembangunan pesat selain tahap kesedaran dan sikap penduduk yang kurang menjaga kebersihan, terutamanya masalah pembuangan sampah-sarap,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan data APM Melaka, terdapat lebih 80 kawasan yang sering berlaku banjir apabila sungai melimpah iaitu lembangan Sungai Duyong melibatkan 16 lokasi, lembangan Sungai Melaka (32), Sungai Kesang (21), lembangan Sungai Linggi (5), lembangan Sungai Baru (7) dan Sungai Merlimau (4).

Atasi banjir jadi keutamaan

Calon PN Datuk Seri Michael Gan Peng Lam, 61, yang bertanding di DUN Ayer Keroh, antara yang membawa isu banjir dalam kempen beliau.

Antara lain, beliau berjanji akan memberi keutamaan dalam mengatasi masalah banjir di kawasan Ayer Keroh sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 20 Nov nanti, terutamanya di taman-taman perumahan yang kerap dilanda banjir, antaranya Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Melawis dan Kampung Sungai Putat.

Mengakui bukan mudah mengatasi masalah banjir terutamanya banjir kilat, Gan yang juga Pengerusi Gerakan Melaka dan Naib Presiden Gerakan, berkata beliau mempunyai perancangan jangka panjang untuk itu.

DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Gan, penyandang kerusi Kerk Chee Yee daripada PH dan Yong Fun Juan (BN).

Sementara itu, calon PN yang bertanding di DUN Gadek, Mohd Amir Fitri Muharam, 34, juga menyatakan mempunyai beberapa perancangan yang akan dilaksanakan sekiranya memenangi kerusi tersebut.

"Untuk jangka pendek, melebarkan dan mendalamkan sungai manakala jangka panjang pula dengan menambah tembok penahan di sepanjang sungai,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Selain Mohd Amir Fitri, lima lagi calon bertanding untuk kerusi tersebut, iaitu penyandang G. Saminathan (PH), V.P.P Shanmugam (BN), Azafen Amin (Bebas), Laila Norinda Maon (Putra) dan B.S Mohan Singh (Bebas).

Saminathan memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti 4,392 undi.

Calon BN di DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin turut memberi tumpuan pada isu banjir dalam kempennya, khususnya di kawasan Cheng, Tanjung Minyak dan Kampung Krubung.

Beliau yang juga anak jati Paya Rumput berkata hujan yang semakin kerap kebelakangan ini menyebabkan isu banjir di Melaka semakin serius. - Bernama

Selain Rais, kerusi DUN Paya Rumput turut diintai oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (PH), Muhammad Faris Izwan Mazlan (PN), Mohamad Hashidi Mohd Zain (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) dan Mohd Jaini Dimon (Bebas).

Dipandang sinis

Akan tetapi, janji-janji berkenaan bagaikan dipandang sinis oleh mangsa banjir di kawasan terjejas, berikutan permasalahan tersebut telah sekian lama membelenggu mereka, malah semakin buruk kebelakangan ini sehinggakan ada penduduk mengibarkan ‘bendera merah’ di depan rumah sebagai tanda protes dan kekecewaan terhadap cara pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani isu itu.

Aimee Shahrin Jais yang telah 23 tahun tinggal di Taman Melawis dan bertindak sebagai wakil penduduk, berkata kejadian banjir di kawasan mereka sudah berlarutan sejak dua dekad, namun tahun ini didapati semakin buruk apabila empat kali dilanda bah dalam tempoh lima bulan.

Katanya kali pertama ialah beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri pada Mei, disusuli kejadian kedua pada Julai, kemudian pada Oktober yang disifatkan paling teruk kerana air naik hingga paras pinggang, dan terkini pada 1 Nov lepas.

"Apakah kita nak tunggu sehingga lebih ramai menjadi korban seperti yang menimpa seorang anggota bomba yang meninggal dunia selepas terlibat dalam usaha menyelamat di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, baru nak diambil tindakan?

"Setakat ini belum ada lagi mana-mana penduduk di Taman Melawis yang meninggal akibat bencana alam tersebut. Namun, kami bimbang kerana banjir berlaku hampir setiap kali selepas hujan lebat, malah semakin teruk pada tahun ini apabila kejadian makin kerap dan paras air pula makin tinggi hingga mencecah dada,” katanya.

Menurutnya, dia kerugian kira-kira RM90,000 sepanjang banjir tahun ini dan mendakwa situasi banjir di kawasan itu semakin teruk sejak 2016, dipercayai berpunca daripada pembangunan pesat di kawasan berdekatan Bukit Beruang yang merupakan kawasan tadahan hujan semula jadi.

Pembangunan pesat berdekatan Bukit Beruang menyebabkan aliran air hujan mengalir deras sehingga mengakibatkan limpahan air Sungai Putat memasuki Kolam Takungan Banjir Taman Melawis.

Namun, kolam itu tidak mampu menampung jumlah air yang tinggi sekali gus menyebabkan banjir di kawasan petempatan di situ termasuklah taman-taman perumahan berdekatan seperti Taman Bukit Beruang Utama dan Taman Bukit Beruang Bestari (BBB).

Melihat bagaikan tiada tindakan diambil pihak berwajib walaupun memorandum telah dihantar kepada beberapa pihak termasuk Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, persatuan penduduk di situ merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab.

Trauma

Sementara itu, wakil penduduk Taman Bukit Beruang Bestari, Adlan Ali mengakui "dia trauma” (berasa takut) setiap kali hujan lebat kerana bimbang berlaku banjir, terutamanya di Jalan BBB 4, 5 dan 6 yang telah empat kali dilanda bah setakat ini pada tahun ini.

Dia mendakwa sistem perparitan di taman berkenaan yang terlalu sempit tidak dapat menampung aliran air hujan, ditambah limpahan air dari Taman Melawis yang berjiran dengan mereka.

Dia juga mendakwa terdapat sebuah parit sepanjang 200 meter yang dibina secara haram di belakang kawasan perumahan mereka dan bersambung dengan Sungai Putat, memburukkan lagi masalah banjir kerana menyebabkan air lebih cepat memasuki kawasan kediaman penduduk.

"Sejak 2017, banjir tidak pernah sampai ke dalam rumah. Sebelum ini hanya sampai di longkang, namun tahun ini air memasuki rumah hingga ke paras pinggang dalam kejadian Oktober lepas.

"Kami nak masalah ini diselesaikan dengan perancangan banjir yang konkrit dan komprehensif. Kami tidak mahu rancangan jangka pendek seperti bantuan bencana alam sebab kami sudah tidak mahu kawasan ini dinaiki air lagi pada masa akan datang,” tegasnya.

Permasalahan banjir selama berdekad itu juga turut dihadapi penduduk Kampung Gadek di daerah Alor Gajah, iaitu kira-kira 32.2 kilometer dari Bandar Hilir.

Tidak lagi sanggup menanggung sengsara puluhan tahun berdepan masalah itu, wakil penduduk Ismail Abdul Latif, 65, berharap calon yang terpilih benar-benar ikhlas membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

"Dah 65 tahun saya menetap di sini, sejak kecil hingga dah jadi warga emas, masalah banjir tidak pernah selesai. Setiap kali hujan lebat dan tidak sampai 10 minit, air mula naik, sekali gus memberi kesan kepada 20 buah rumah yang berdekatan dengan Sungai Batang Melaka,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa penduduk sebelum ini telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri, terutamanya berkaitan pelebaran empangan di kampung itu selain meminta mendalamkan sungai, serta menambah dan meninggikan ban sedia ada, namun masih belum ada penyelesaian.

Siapa juga yang menang di DUN ini, diharapkan ada iltizam untuk bantu tangani masalah kami, ujarnya.