Cegah penggunaan ubat tidak terbukti rawat Covid-19

Isu melibatkan Ivermectin merupakan antara contoh bahawa sebahagian ahli masyarakat begitu mudah mempercayai dakwaan pihak tidak bertanggungjawab tanpa bukti saintifik yang mencukupi.
Isu melibatkan Ivermectin merupakan antara contoh bahawa sebahagian ahli masyarakat begitu mudah mempercayai dakwaan pihak tidak bertanggungjawab tanpa bukti saintifik yang mencukupi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan demi laporan disiarkan oleh media, bersumberkan autoriti sahih, bahawa hingga kini Covid-19 belum ada penawar, namun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terpedaya dengan pelbagai ubat-ubatan yang kononnya mampu merawat jangkitan itu.

Iklan mengenai ubat-ubatan sedemikian masih berleluasa di platform media sosial, dan antara ubat yang popular dan mendapat permintaan tinggi ialah Ivermectin, ubat yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) hanya untuk merawat parasit seperti cacing.

Diberi julukan 'pil cegah mati', Ivermectin didakwa mampu mencegah kematian dan kesan serius akibat Covid-19, sekali gus menjadi 'penawar' yang dicari-cari oleh kebanyakan ahli masyarakat dan turut membawa kepada lambakan ubat itu dari luar negara.

Malah, menurut Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan (KKM), harga pil itu juga naik berkali ganda daripada RM5 sepapan (10 biji) kepada RM60 termasuk caj penghantaran.

Namun ternyata dakwaan 'pil cegah mati' itu tidak berasas kerana KKM pada 3 November lepas, mengumumkan kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) mendapati Ivermectin tidak mencegah penyakit Covid-19 daripada menjadi lebih serius, justeru tidak disarankan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.

Kajian itu membabitkan 500 pesakit Covid-19 kategori 2 atau 3 di 20 buah hospital kerajaan serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS 2.0.

FENOMENA GLOBAL

Mengulas isu populariti Ivermectin sebagai 'ubat Covid-19', pensyarah perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fitri Fareez Ramli berkata, kepercayaan terhadap 'keberkesanan' Ivermectin dalam merawat Covid-19 merupakan fenomena global.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini masih berlanjutan kerana sebahagian masyarakat berasa bimbang dan ingin mencari alternatif bagi mencegah atau merawat jangkitan Covid-19. Isu melibatkan Ivermectin ini merupakan antara contoh bahawa sebahagian ahli masyarakat begitu mudah mempercayai dakwaan pihak tidak bertanggungjawab tanpa bukti saintifik yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi.

Tegas beliau, pengambilan ubat-ubatan yang belum dipastikan keberkesanan adalah berbahaya kerana berpotensi membawa komplikasi kesihatan yang tidak diingini.

Perkara itu ada kebenaran kerana KKM semasa mengumumkan keputusan kajian terhadap Ivermectin dalam merawat Covid-19 turut mendedahkan penggunaan ubat tersebut menyebabkan kesan advers (sampingan) tiga kali lebih kerap berlaku kepada pesakit - paling kerap ialah cirit-birit.

KEMBANGKAN ILMU PENGETAHUAN

Sementara itu, Dr Fitri Fareez menyarankan golongan profesional dalam bidang kesihatan agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang terkini, bersumberkan jurnal dan pakar sahih, sebelum menterjemahkan maklumat yang diterima ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum.

Usaha itu katanya penting bagi mendidik masyarakat secara berterusan, sekali gus mengelakkan pengguna terpedaya dengan kaedah rawatan yang tidak terbukti secara saintifik.

"Selain itu, penggunaan pelbagai saluran seperti media arus perdana, media sosial dan laman sesawang juga perlu bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Beliau berkata, golongan profesional penjagaan kesihatan juga boleh memanfaatkan forum umum bagi membolehkan masyarakat atau pengguna media sosial membuat pertanyaan secara langsung kepada mereka.

Selain itu, penggunaan infografik menarik yang mudah difahami dan dalam pelbagai bahasa juga merupakan antara kaedah yang dapat menarik perhatian umum, tambah beliau.

KEKANG PENULARAN MAKLUMAT PALSU

Sementara itu, Dr Nurul ‘Izzah Ibrahim, juga pensyarah di Jabatan Farmakologi UKM berkata, penyebaran maklumat palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu dihentikan sama sekali.

Untuk itu katanya, orang awam perlu diberi kesedaran agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dibaca menerusi media sosial.

“Orang awam perlu dididik agar menyemak dahulu kesahihan maklumat dan jika didapati tidak benar, mereka perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (bagi menghentikan penularan maklumat palsu),” katanya.

Menurut Seksyen 211 dan Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Dr Nurul ‘Izzah turut mengulas ada segelintir klinik swasta menjadi pengedar pil Ivermectin.

“Perbuatan ini sudah semestinya menyalahi amalan perubatan. Perbuatan tidak bertanggungjawab menjual ubat-ubatan seperti Ivermectin secara 'off the record', iaitu tidak dimasukkan dalam preskripsi rasmi ini dilakukan demi mendapatkan keuntungan, haruslah dihentikan dengan segera.

"Pihak berwajib harus menjalankan siasatan terperinci mengenai pemberian Ivermectin secara tidak bertanggungjawab ini," tegasnya, menambah mereka yang didapati bersalah juga harus dikenakan tindakan tegas bagi memberi pengajaran kepada yang lain.

KERAJAAN CAKNA

Dalam pada itu, Dr Nurul ‘Izzah memuji pelan kerajaan melalui KKM menandatangani surat aku janji (Letter of Undertaking) bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme baru-baru ini.

Beliau melihat perkara itu sebagai satu usaha proaktif yang dapat membantu mengurangkan kebimbangan masyarakat, sekali gus mengelakkan mereka daripada terus tertipu dengan dakwaan 'keberkesanan' ubat-ubat tertentu dalam merawat jangkitan virus berkenaan.

“Ubat ini bekerja dengan mengganggu proses virus menyalin bahan genetiknya, asid ribonukleik (RNA). Penggunaan ubat ini dapat menghalang virus daripada merebak di dalam badan dan boleh membantu merawat pesakit yang berisiko untuk (mengalami) jangkitan virus yang teruk.

“Percubaan klinikal menggunakan ubat ini menunjukkan keputusan yang memberangsangkan, yang mana analisis awal percubaan fasa ketiga menunjukkan Molnupiravir dapat mengurangkan kemasukan hospital dan kematian kira-kira 50 peratus berbanding plasebo (kumpulan kawalan).

“Oleh itu, langkah kerajaan menandatangani surat aku janji pembelian Molnupiravir boleh dikatakan tepat, kerana ada bukti saintifik yang menunjukkan keberkesanan ubat ini,” katanya, menambah hal itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat rawatan terbaik. - Bernama