England baham San Marino, tempah slot automatik ke Qatar 2022

Kane tampil dengan empat gol ketika membantu England menewaskan San Marino.
Kane tampil dengan empat gol ketika membantu England menewaskan San Marino.
A
A
A

GARETH Southgate menyifatkan para pemain England telah melakukan kerja keras yang sempurna apabila The Three Lions menempah slot automatik kali ketujuh berturut-turut ke Piala Dunia selepas membelasah San Marino, 10-0 di Stadium San Marino.

The Three Lions menamatkan saingan Kumpulan I dengan enam mata di hadapan naib juara Poland dengan menjaringkan 39 gol dan hanya bolos tiga gol.

"Sejujurnya ditegaskan bahawa kelayakan England ke Qatar 2022 diperoleh di Budapest, Warsaw dan Albania.

"Saya perlu menghargai komitmen semua pemain dan kakitangan England yang memberikan yang terbaik kepada pasukan ini tahun ini.

"Dan kami tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tentang sengit setiap lawan England pada fasa peringkat kumpulan ini, kerana secara mental dan cara permainan sememangnya mereka memberikan tentangan hebat," kata pengendali England itu.

Naib juara Euro 2020 itu tampil garang di Serravalle dengan Harry Kane meledak gol ketujuh dalam tempoh empat hari apabila menjaringkan empat gol bermula dengan dua gol sepakan penalti minit ke-27' dan 39' serta jaringan minit ke-31' dan 42'.

Penyerang Tottenham Hotspur itu menjaringkan hatrik ketika England membelasah Albania, 5-0 sebelum ini yang menjadikan gol ke-16 tahun ini dan 48 secara keseluruhan bersama The Three Lions.

Jaringan itu menyaksikan Kane kini berada di tempat ketiga bersama Gary Lineker dalam senarai penjaring sepanjang zaman dan lima gol di belakang penjaring terbanyak Wayne Rooney.

Artikel Berkaitan:

Mengulas status Kane yang dikeluarkan pada minit ke-63, babak kedua, Southgate berkata, "Sekiranya kami meninggalkannya selama setengah jam lagi, sudah pasti kami akan menerima panggilan telefon dari keluarga Wayne Rooney.

"Dia seorang penjaring gol yang luar biasa, kami mahu memberinya peluang malam ini dan dia mengambilnya dengan baik."

Kejayaan England mara ke temasya bola sepak terbesar dunia itu menyaksikan England mempunyai tempoh setahun mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan sengit di Qatar 2022.

“Saya tidak terlalu fikir jauh ke hadapan, kami telah mengharungi 19 perlawanan musim ini dan banyak lagi yang perlu diharungi.

"Ini sebenarnya peluang yang baik untuk melihat semula prestasi beberapa bulan lalu dan pengalaman diperlukan para pemain muda England," kata Southgate.