Lipatkan usaha perangi perjudian dalam talian

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KEGIATAN perjudian dalam talian masih berlaku secara meluas di negara kita. Walaupun pelbagai usaha membanteras telah dijalankan, ia masih belum membuahkan hasil yang memuaskan.

Malah promosi judi dalam talian ini juga dilihat semakin menjadi-jadi apabila pengendalinya menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi menawarkan perkhidmatan tersebut.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan sejak 2018 sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 20,025 talian telefon ditamatkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan ‘spam SMS’ yang mempromosikan judi dalam talian dan pinjaman tidak berlesen.

Katanya, langkah itu diambil sebagai usaha mengatasi isu berkenaan mesej 'spam' yang mempromosikan judi dalam talian.

Untuk memerangi perjudian dalam talian, tindakan awal yang perlu dilakukan kerajaan sudah pastinya melalui SKMM iaitu dengan menyekat akses ke atas laman sesawang judi dalam talian.

Mengikut laporan sejak 2018 hingga 31 Oktober lalu juga, sejumlah 4,799 laman web judi dalam talian telah disekat berdasarkan permohonan rasmi pihak polis atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Bagi pihak berkuasa, usaha memerangi perjudian dalam talian ini sesungguhnya amat berat memandangkan pelanggan boleh berjudi di mana sahaja hanya dengan menggunakan telefon bimbit ataupun komputer peribadi.

Malahan, segala transaksi kewangan mampu berjalan melalui talian.

Artikel Berkaitan:

Maka sebab itulah betapa pentingnya kerjasama yang erat daripada orang ramai dengan menyalurkan makulmat sekiranya dihubungi talian telefon yang mempunyai promosi berbentuk perjudian.

Segala bentuk perjudian mestilah disekat termasuklah perjudian dalam talian. Ia boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat apabila terdapat segelintir ‘tahi judi’ sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang yang terlarang.