Sila log masuk terlebih dahulu.

Sulaiman bukan calon Ketua Menteri sementara: Tok Mat

Datuk Seri Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM- Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sekali lagi menegaskan, hanya Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi calon Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal seandainya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia sekali gus menangkis dakwaan kononnya bekas Ketua Menteri itu hanya calon sementara dan akan ditukar calon lain.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka memberitahu, tidak timbul soal Ketua Menteri sementara atau tidak dan menyifatkan fitnah itu sebagai mainan politik oleh orang yang berkepentingan yang cuba meracun minda pengundi Melaka.

“Mana ada ketua menteri sementara? Ini bukan cerita main-main. Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal.

“Insya-ALLAH jika diberi mandat oleh rakyat kepada BN untuk mentadbir Melaka, kita telah tetapkan bahawa Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal.

“Tiada isu pula orang nak main-mainkan kata sementara sebab kita (BN) nak menstabilkan kerajaan negeri.

“Apabila dah ada kestabilan itu, seorang Ketua Menteri yang juga pentadbir yang mantap dan didokong oleh parti serta disokong oleh rakyat, maka dia perlu menumpukan sepenuh tumpuannya untuk meneruskan dan memakmurkan negeri,” jelasnya dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh Facebook rasmi BN pada Isnin.

Mohamad juga menyeru agar pengundi Melaka tidak percaya dan mendengar khabar angin kerana pelbagai fitnah yang timbul sepanjang kempen PRK Melaka kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap rakyat Melaka tidak lagi termakan fitnah yang nak memutarbelitkan fakta dan nak melemahkan BN.

“Jadi, jangan dengar. Kepada pengundi dan rakyat Melaka, BN telah pun memutuskan bahawa calon kita Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang akan kita lantik dan yang akan menguruskan negeri untuk jangka masa satu penggal lima tahun yang akan datang,” ujar beliau.