Wartawan AS Danny Fenster dibebaskan dari penjara Myanmar

Danny Fenster.- Foto CNN
Danny Fenster.- Foto CNN
A
A
A

BANGKOK - Wartawan Amerika Syarikat (AS) Danny Fenster yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dengan kerja paksa di Myanmar, dibebaskan dari penjara.

Fenster dibebaskan selepas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bill Richardson mengadakan pertemuan dengan Jeneral Kanan Myanmar, Min Aung Hlaing di Myanmar baru-baru ini.

“Inilah hari yang kita nantikan. Kami sangat bersyukur kerana Danny akhirnya dapat bersatu semula dengan keluarganya," kata Richardson dalam satu kenyataan yang dikeluarkan The Richardson Centre.

Sementara itu, jurucakap junta, Mejar Jeneral Zaw Min Tun mengesahkan kepada BBC bahawa Fenster telah dibenarkan meninggalkan negara ini.

Fenster, 37, ialah editor pengurusan majalah dalam talian Frontier Myanmar. Beliau ditahan pada Mei ketika cuba meninggalkan Myanmar.

Beliau adalah antara puluhan wartawan tempatan yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari.

Pada Jumaat, Fenster dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dengan kerja keras selepas didapati bersalah melanggar peraturan visa, menghubungi organisasi haram dan menyebarkan maklumat palsu atau menghasut.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menghasut dan keganasan yang boleh dihukum penjara seumur hidup.

Artikel Berkaitan:

Richardson, bekas Gabenor New Mexico dan setiausaha tenaga ketika pentadbiran Bill Clinton mempunyai sejarah penglibatan yang lama dengan Myanmar.

Lawatan beliau ke Myanmar minggu lalu turut menerima kritikan. Bagaimanapun, Richardson memberitahu AP bahawa perbincangan tertumpu kepada hal berkaitan mempermudah bantuan kemanusiaan kepada negara itu, khususnya penyediaan vaksin Covid-19. - Bernama