Langgar SOP: 16 kompaun bernilai RM198,000 dikeluarkan setakat ini

Foto fail Bernama. (Gambar kecil: Razali)
Foto fail Bernama. (Gambar kecil: Razali)
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 16 kompaun berjumlah RM198,000 dikeluarkan kepada penganjur yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk ketika berkempen.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan bermula 25 Oktober iaitu beberapa hari sebelum penamaan calon hingga Isnin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kompaun dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan dua kompaun.

Selebihnya dikeluarkan pasukan integriti terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah berhimpun, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dengan nilai kompaun tertinggi berjumlah RM20,000," katanya.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan berdasarkan pelanggaran SOP yang jelas dilakukan termasuk juga berkempen dari rumah ke rumah untuk mengedarkan bahan kempen secara bersemuka dengan penduduk.

"Sepatutnya mereka tidak boleh bersemuka, tapi mereka datang beramai-ramai rumah ke rumah dan memberikan bahan-bahan kempen. Mereka juga berkempen di kedai-kedai makan dengan memakai baju berlogokan parti secara berkumpulan.

"Pakai baju berlogokan parti sebenarnya tidak menjadi kesalahan tetapi telah mengundang penyokong lain pada masa itu sehingga tidak boleh membuat penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Razali berkata, terdapat juga penganjur yang dikenakan kompaun kerana membuat sidang akhbar di tempat terbuka membabitkan kehadiran ramai.

Selain itu, katanya, mereka turut mengadakan mesyuarat di bilik-bilik gerakan, sedangkan seharusnya seseorang calon hanya dibenarkan membuka atau mengurus sebuah bilik gerakan sahaja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Tetapi calon tersebut telah mempunyai dua bilik gerakan dalam satu DUN.

"Kesalahan lain, kebanyakan parti politik membuat aktiviti melibatkan kehadiran yang ramai dalam 'walkabout' yang mereka anjurkan," jelas beliau.

Dalam tempoh itu juga, katanya, sebanyak 130 laporan polis telah dibuat.

"Daripada bilangan tersebut, sebanyak 41 kertas siasatan sudah dibuka. Penganjur dan individu yang hadir semasa perjumpaan sudah dipanggil untuk dirakam keterangan," katanya.

Tambah beliau, polis akan memastikan semua kertas siasatan dapat dihantar kepada pendakwa raya secepat mungkin untuk tindakan selanjutnya.

"Kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342)," ujar beliau.