Usah tuding jari isu pembangunan Sabah, Sarawak: Ongkili

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili meminta Ahli Parlimen tidak saling menuding jari berhubung isu pembangunan di Sabah dan Sarawak sehingga mampu menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Sebaliknya beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama supaya agenda merapatkan jurang perbezaan di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dapat direalisasikan.

Katanya, sejak Sabah dan Sarawak membentuk sebahagian daripada Malaysia, hak-hak istimewa bagi kedua-dua negeri itu sentiasa terpelihara seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dilaksanakan menerusi penubuhan Majlis Khas Mengenai MA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Sudah pasti pelaksanaan perkara-perkara yang dibincangkan di bawah majlis khas berkenaan memerlukan masa untuk dilaksanakan dan menuntut kesabaran, serta dikendalikan melalui pendekatan yang harmoni sebagai Keluarga Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ongkili berkata, Majlis Khas Mengenai MA63 sebelum ini bersetuju supaya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang antara lain bertujuan meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai tafsiran ‘Persekutuan’, dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri dan telah dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 3 Nov lepas.

Selain itu, menurutnya majlis khas berkenaan turut bersetuju supaya inisiatif pemerkasaan pelesenan perikanan laut dalam dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Jabatan Perikanan Sabah, susulan tuntutan kerajaan negeri berkaitan perkara penangkapan ikan, perikanan laut dan muara.

“Inisiatif ini dijangka selesai dilaksanakan selewat-lewatnya pada Disember tahun ini. Majlis khas juga bersetuju supaya inisiatif pemerkasaan ini turut diperluaskan kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak atas permintaan kerajaan negeri itu sewaktu mesyuarat berlangsung,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: