Queenie Ting kini sasar lemparan 55 meter

Queenie Ting. - Foto Bernama
Queenie Ting. - Foto Bernama
A
A
A

KIRA-kira 11 tahun lepas, Queenie Ting Kung Ni yang ketika itu atlet remaja lontar peluru, diminta mencuba acara lempar cakera oleh jurulatih pertamanya, Thomas Ling Neng Thung.

Atlet Sarawak yang ketika itu berusia 13 tahun, tidak menyangka dia akan jatuh cinta dengan sukan itu dan akhirnya muncul pemegang rekod kebangsaan lempar cakera wanita negara.

Anak kelahiran Sarikei itu melakar sejarah baharu dalam acara itu selepas muncul wanita pertama Malaysia melepasi paras 50 meter dengan lemparan sejauh 50.67m di Malaysian Track & Field Trials di Stadium MSN Bukit Jalil, pada Ahad.

Queenie Ting, yang akan berusia 24 tahun esok (16 November), meningkatkan pencapaiannya sejauh 2.11m berbanding rekod kebangsaannya sebelum ini iaitu 48.56m yang dicatatkan pada Grand Prix Malaysia, April lepas.

“Saya sangat berbangga dengan diri saya dan pasukan saya, kerana ramai yang berkata acara lempar cakera wanita di Malaysia tidak memperoleh pencapaian yang baik sejak sekian lama.

“Apabila kami akhirnya berjaya melakukannya, kami telah membuktikan keupayaan kami bahawa ia boleh dilakukan dan sudah tiba masanya,” kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019 itu kepada Bernama ketika ditemui semasa latihan di Majlis Sukan Negara pada Isnin.

Setelah berjaya melepasi lemparan 50m, Queenie Ting kini menyasarkan catatan 55m untuk layak menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 secara merit dan yakin dapat mencapai misi itu dengan meningkatkan kekuatan, kelajuan dan nutrisi.

“Saya akan bekerja keras untuk itu, mungkin ia kelihatan sukar, tetapi jika kita percaya kita boleh lakukan dan bekerja keras untuknya, kita boleh capai matlamat tersebut. Saya harus fokus, percaya kepada jurulatih saya untuk memberikan komitmen 100 peratus dan usaha lebih giat.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun matlamat terbesar saya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, tetapi buat masa ini saya akan beri tumpuan satu persatu, untuk memenangi pingat Sukan SEA terlebih dahulu, kemudian cuba melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan Asia.

“Buat masa ini saya telah melepasi halangan pertama (catatan 50m) dan saya akan hadapi lebih banyak lagi halangan,” tambahnya.

Sementara itu, jurulatihnya Mohamad Ali Hamid menjelaskan pelan jangka pendek atlet itu adalah untuk meneruskan momentumnya mencapai catatan 55m menjelang Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan pada Mei, dengan sasaran meraih pingat perak.

“Ini adalah kitaran pertama dan dia telah menunjukkan kemajuan yang sangat baik, kami akan mempunyai dua lagi kitaran tahun depan, kami akan cuba mendapatkan satu lagi berita baik di Sukan SEA dan berdasarkan kepada keputusan, kami akan merancang sewajarnya.

“Sekiranya keputusan memberangsangkan dan signifikan bagi kami, kami akan berusaha menjalani latihan di Eropah selepas Sukan SEA. Queenie telah bertanding di Sukan SEA 2019, seterusnya perlu bertanding di Sukan Asia, mungkin menjadi lima terbaik dan perlu menjadi kompetitif di peringkat Asia, sebelum menyasarkan kejohanan lebih besar,” katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi, Queenie Ting akan berhadapan juara bertahan dan Olimpian Subenrat Insaeng dari Thailand, yang meraih pingat emas edisi 2019 dengan mencatatkan rekod kejohanan menerusi lemparan 60.33m.

Malaysia membawa pulang pingat perak dan gangsa menerusi Choo Kang Ni (47.02m) dan Queenie Ting (45.28m). - Bernama