Jawatankuasa RCI Tabung Haji akan dikemuka kepada Agong

Idris Ahmad - Foto Bernama
Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Senarai Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum diumumkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas telah membuat keputusan berhubung jawatankuasa berkenaan.

“Kita tertangguh oleh sebab sebelumnya ada (ahli jawatankuasa) yang kita lantik, dia tak setuju dan sekarang ini, sudah pun ada persetujuan dan insya-Allah kita akan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan selepas itu akan diisytiharkan jawatankuasa RCI ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berharap RCI berkenaan dapat melunaskan tugas dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Pada 14 Julai lepas, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH.

Penubuhan RCI antaranya bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan TH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam. - Bernama

Artikel Berkaitan: