Sokong kerajaan campuran di Perlis

Azlan (kiri), Mohd Shukri
Azlan (kiri), Mohd Shukri
A
A
A

KANGAR - Perlis menyokong cadangan mewujudkan kerajaan campuran di negeri-negeri yang ditadbir BN dan Pas.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan itu merupakan cadangan yang positif untuk mengukuhkan kerjasama antara dua parti.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama pemangku presiden itu selepas pulang daripada mengerjakan umrah bagi mendapatkan butiran lanjut bentuk kerjasama itu.

“Cadangan mengenai kerajaan campuran adalah sesuatu yang baik. Bagaimanapun, saya perlu berjumpa terlebih dahulu dengan Mohamad untuk dapatkan perinciannya,” katanya, yang kini berada di Arab Saudi.

Kelmarin, Mohamad mengumumkan parti itu bercadang mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan Pas, di mana cadangan itu sudah dikemukakan kepada Pas baru-baru ini.

Menurutnya, ia masih di peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Pada peringkat UMNO, jawatankuasa kerja sudah dibentuk dan dipengerusikan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk Pas kelak.

Kerjasama kedua-dua parti ini adalah dengan mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah bermula di Terengganu, diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

Manakala Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Pas negeri itu akan menyokong keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Kita tunggu pucuk pimpinan yang buat keputusan, negeri akan ikut apa jua keputusan kelak,” katanya.

BN Perlis menguasai sembilan kerusi DUN daripada 15 kerusi, Pas pula hanya dua kerusi, manakala satu kerusi milik wakil rakyat bebas.

PH pula mempunyai tiga kerusi DUN, masing-masing di Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan selain kerusi Parlimen Kangar.